Tokyo: Ikon bola sepak Jepun, Kazuyoshi Miura menjaringkan gol kompetitif pertamanya pada usia 59 tahun ketika membantu Fukushima United membelasah Iwaki Furukawa 7-0 untuk mara ke pusingan seterusnya saingan Piala Maharaja, semalam.
Miura yang lebih dikenali sebagai “King Kazu” meledak pada minit ke-52 bagi meletakkan Fukushima di depan 5-0 selepas melakukan larian ke dalam kotak penalti sebelum menyempurnakan hantaran lintang rendah rakan sepasukan menerusi penyudah sentuhan pertama pada usia 59 tahun 149 hari.
Gol pertamanya dalam tempoh empat tahun itu mencetuskan sambutan meriah daripada rakan sepasukan di atas padang dan di bangku simpanan sebelum penyerang veteran itu dikeluarkan tiga minit kemudian.
Ia adalah gol kompetitif pertama Miura sejak November 2022 apabila beliau menjaringkan gol buat Suzuka PG, yang kini dikenali sebagai Atletico Suzuka, dalam aksi Liga Bola Sepak Jepun menentang FC Osaka.
Bekas penyerang antarabangsa Jepun itu kini sedang bersedia mengharungi musim profesional ke-42 selepas melanjutkan tempoh pinjamannya bersama kelab divisyen ketiga, Fukushima United, sehingga Jun 2027.
Miura menyertai Fukushima dari Yokohama FC pada Disember lalu dan akan terus kekal bersama kelab itu selepas membuat enam penampilan sepanjang musim 2026 yang dipendekkan.
Dengan liga profesional Jepun bakal beralih daripada kalendar musim bunga-ke-musim luruh kepada musim luruh-ke-musim bunga, Miura dijangka terus beraksi secara profesional ketika memasuki usia 60-an.
© New Straits Times Press (M) Bhd






