JAGUH berbasikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang menzahirkan harapan agar segala isu berkaitan sukan berbasikal negara dapat diredakan susulan satu sesi perbincangan bersama Majlis Sukan Negara (MSN) dan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) di Bukit Jalil pada Selasa.
Menurut Azizulhasni, pertemuan yang berlangsung di pejabat MSN itu memberi ruang kepada semua pihak untuk membincangkan pelbagai perkara secara lebih terbuka termasuk hala tuju pembangunan atlet, program latihan serta struktur kejurulatihan negara menjelang kejohanan utama akan datang.
Mesyuarat berkenaan turut disertai Ketua Pengarah MSN, Jefri Ngadirin, wakil KBS, Arif Astaman serta Pengarah Teknikal skuad berbasikal trek negara, John Beasley.
Azizulhasni berkata, pertemuan itu membolehkan pelbagai isu dibincangkan secara lebih jelas dalam usaha memastikan pembangunan sukan berbasikal negara terus berada pada landasan yang tepat.
“Hari ini kita dapat berbincang dengan lebih jelas mengenai beberapa perkara penting yang melibatkan pembangunan sukan berbasikal negara.
“Fokus utama kini adalah memastikan atlet mendapat persekitaran terbaik untuk bersedia menghadapi kejohanan besar akan datang,” katanya menerusi hantaran di media sosial.
Dalam pada itu, beliau turut menzahirkan harapan agar MSN dan KBS memberi perhatian serta penekanan khusus terhadap isu-isu lain yang turut dibincangkan dalam mesyuarat berkenaan.
Sebelum ini, Azizulhasni pernah menyuarakan pandangan agar semua pihak memberi ruang kepada Beasley untuk terus memberi tumpuan kepada persiapan atlet menjelang Sukan Komanwel dan Sukan Asia, selain mengelakkan gangguan yang boleh menjejaskan prestasi pasukan.
Beliau turut menekankan kepentingan kestabilan dalam struktur kejurulatihan serta persekitaran yang harmoni bagi memastikan pembangunan bakat muda tidak terjejas oleh isu luar padang.
Azizulhasni percaya Malaysia masih memiliki ramai pelumba muda berpotensi besar, namun memerlukan sistem sokongan yang stabil dan konsisten bagi melahirkan jaguh bertaraf dunia.
Dalam pada itu, beliau turut menyambut baik langkah MSN memperkenalkan penyertaan antarabangsa dalam siri Jelajah Berbasikal Remaja Malaysia (JCM) yang dilihat mampu meningkatkan kualiti pembangunan atlet pelapis negara.
MSN pada Rabu mengumumkan siri JCM akan dibuka kepada penyertaan pasukan jemputan antarabangsa dari Thailand, Indonesia, Korea Selatan dan Arab Saudi sebagai usaha meningkatkan tahap persaingan atlet muda negara.
Langkah itu dijangka memberi pendedahan lebih luas kepada pelumba pelapis negara selain membantu mereka bersedia menghadapi cabaran di pentas lebih tinggi pada masa depan.
JCM yang diperkenalkan sejak 2016 kekal menjadi platform utama pembangunan bakat berbasikal negara menerusi siri perlumbaan trek dan lebuh raya di seluruh negara.






