KUALA LUMPUR – Masyarakat India resah apabila harga barangan basah didapati semakin naik menjelang sambutan Deepavali minggu depan
Naib Presiden MIC, Datuk T Murugiah berkata, harga sayur-sayuran dan ikan antara makanan keperluan yang didapati naik harga.
Katanya, beliau menerima banyak aduan daripada pengguna India sejak kebelakangan ini.
Bercakap kepada MalaysiaGazette, Murugiah berkata, beliau sendiri membuat tinjauan di sebuah pasar di Petaling Jaya untuk melihat sendiri kebenaran tentang dakwaan kenaikan harga barang.
Harga ayam sebelum ini RM8 sekilogram, kini jadi RM9 manakala ikan bawal pula berharga RM20 sekilogram dan ketam RM75 sekilogram.
“Mungkin ikan bawal dan ketam memang mahal, tapi ikan masin pun naik harga.
“Jika begini bagaimana isi rumah yang berpendapatan RM1,500 hendak berbelanja,” ujarnya.
Lantaran itu beliau memohon pihak berkuasa melakukan penguatkuasaan lebih kerap di pasar-pasar seluruh negara dan menjalankan tindakan tegas terhadap peniaga.
“Ramai yang membuat aduan secara peribadi, selain meluahkan rasa tidak puas di laman-laman sosial sejak beberapa hari lalu kerana terkesan dengan kenaikan harga yang mendadak.
“Saya berharap tindakan segera dapat diambil bagi menangani situasi ini,” katanya lagi.
Kata Murugiah, kerjasama pihak berkuasa dalam menangani isu ini amat dihargai demi menjaga kebajikan masyarakat dan memastikan sambutan perayaan diraikan dengan meriah.
“Tindakan tegas dan pantas pihak berwajib adalah bagi memastikan harga barangan kekal stabil dan adil untuk semua pengguna,” katanya meminta pihak berkenaan kasihan dengan rakyat yang terkesan dengan kenaikan ini.
Lebih-lebih lagi bagi golongan yang tidak berkemampuan dan B40, ujarnya. – MalaysiaGazette