Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengalu-alukan arahan PAS supaya ahli dan penyokongnya mengundi calon BN di kerusi yang tidak ditandingi parti itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Kalau betul-betul sokong, terjemahkan melalui undi
Memetik laporan daripada Harian Metro, Timbalan Perdana Menteri menyatakan, sekiranya PAS benar-benar mahu memberikan sokongan kepada BN, perkara tersebut perlu diterjemahkan melalui undi kepada kesemua 56 calon BN yang bertanding pada PRN kali ini.
“Baguslah kalau menyokong seluruh 56 calon BN yang bertanding di negeri Johor.
“Saya harap kata-kata itu dapat ditunaikan dan diterjemahkan. Kita tidak mahu hanya menanam tebu di hujung bibir,” katanya.

Beliau menyatakan demikian kepada media selepas melancarkan Jentera BN Dewan Undangan Negeri (DUN) Parit Yaani dan DUN Parit Raja di Dataran Tanjung Simpang, di sini, hari ini.
Terdahulu, media melaporkan PAS mengarahkan semua ahli dan penyokongnya mengundi calon UMNO-BN di DUN yang tidak ditandingi Perikatan Nasional (PN) pada PRN Johor.

Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man dilaporkan berkata arahan itu dikeluarkan bagi memastikan sokongan diberikan kepada calon UMNO-BN di kawasan yang tidak mempunyai calon daripada PN.
Sumber: Harian Metro (Ridhwan Rusydi Azri Roslan)





