Baik untuk Pas selagi Zahid jadi Presiden UMNO – Tuan Ibrahim

Baik untuk Pas selagi Zahid jadi Presiden UMNO – Tuan Ibrahim


KUALA LUMPUR – Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man menyifatkan Perikatan Nasional (PN) mempunyai kebaikan dan kelebihan selagi Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi memimpin UMNO.

Ini kerana, ujar beliau, ia mampu menarik ahli UMNO kepada PN, bahkan turut menyifatkan Ahmad Zahid menjadi liabiliti kepada kerajaan Pakatan Harapan (PH)-Barisan Nasional (BN).

“Keputusan Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Bakap adalah signal jelas bahawa PN mampu menghadapi PRU-16 dengan kekuatan yang ada pada PN itu sendiri.

“Penolakan terhadap Kerajaan Madani yang menyusahkan rakyat oleh pengundi Melayu termasuk akar umbi UMNO, bahkan Cina, India dalam PRK kali ini amat jelas,” katanya menerusi laman sosial Facebooknya hari ini.

Semalam, Tuan Ibrahim turut menegaskan Pas juga tidak akan menjalin sebarang kerjasama dengan UMNO selagi Ahmad Zahid menjadi Presiden parti itu.

Ia susulan ucapan Ahmad Zahid ketika merasmikan Mesyuarat UMNO Bahagian Kuala Kangsar yang mana UMNO tidak akan bekerjasama dengan Pas jika Tan Sri Abdul Hadi Awang terus menerajui parti itu.

Dakwa Ahmad Zahid, Abdul Hadi tidak konsisten dengan keputusan yang sudah dipersetujui dalam perbincangan secara bersemuka.

Dalam pada itu, Tuan Ibrahim menambah, Abdul Hadi sebagai Presiden Pas telah mengangkat kejayaan besar Pas dalam sejarah perjuangan parti sekali gus menjadi petanda `Tuan Guru’ berkenaan berada di laluan yang tepat.

Bahkan, ujar beliau, Presiden Pas itu juga terus istiqamah di atas dasar penyatuan ummah dan panduan Ilahi.

“Kita bersatu di atas kebaikan dan taqwa, tidak bekerjasama dalam mendukung kebatilan dan dosa,” katanya. – MalaysiaGazette



Source link

OR

Scroll to Top