SKUAD boling lelaki negara mencipta sejarah apabila merangkul trofi Piala Dunia Persekutuan Boling Antarabangsa (IBF) di Kowloon, Hong Kong pada Selasa.
DUA gelaran pada Kejohanan Piala Dunia 2025 di Kowloon, Hong Kong membuktikan skuad boling negara terus gah memacu nama Malaysia di pentas antarabangsa.
Kem kebangsaan unggul dengan dua kejuaraan menerusi Natasha Mohamed Roslan bagi kategori individu wanita serta berpasukan lelaki dalam kejohanan yang menutup tirai pada Selasa.
Di sebalik kejayaan tersebut Kongres Tenpin Boling Malaysia (MTBC) enggan menoleh ke belakang lagi apabila mahu terus fokus untuk mengibarkan Jalur Gemilang di persada global.
Peruntukan dari Kementerian Belia dan Sukan (KBS) serta Majlis Sukan Negara (MSN) dikhabarkan menjadi kekangan buat persatuan tersebut, namun ia bukan alasan buat MTBC untuk terus mara ke depan.
Setiausaha Agungnya, Maradona Chok memberitahu, skuad boling negara merancang untuk menyertai lima kejohanan di luar negara pada tahun ini melibatkan pemain elit dan pasukan remaja.
Beliau berkata, penyertaan pada kejohanan antarabangsa itu sebagai usaha untuk mengekalkan prestasi atlet selain dapat bersaingan secara kompetitif.
“Bajet musim ini difahamkan lebih rendah, namun saya tidak mengetahui jumlahnya. Malah mereka memberitahu kami tahun ini agak mencabar (peruntukan).
“Kesemua pertandingan yang kita mahu sertai di peringkat antarabangsa sudah dimasukkan dalam perancangan,” katanya kepada Sukan Sinar.
Skuad elit boling negara dijadualkan untuk menyertai Kejohanan Dunia pada November, Sukan SEA Thailand pada Disember.
Bagi pasukan remaja pula akan menyertai Piala Belia Dunia di Sweden dan Kejohanan Belia Asia pada Ogos.
Maradona bagaimanapun optimis KBS dan MSN dapat memberikan yang terbaik bagi menjayakan dan merealisasi hasrat persatuan untuk menyertai kejohanan di luar negara.
“Saya percaya KBS dan MSN akan bantu kita dengan sebaik mungkin seperti tahun-tahun sebelum ini,” katanya.
Skuad boling lelaki negara mencipta sejarah apabila menjuarai Kejohanan Piala Dunia dalam acara berpasukan di Kowloon pada Rabu.
Kejayaan itu hadir selepas Malaysia yang dibarisi Muhd Rafiq Ismail, Tun Hakim Tun Hasnul Azam, Timmy Tan dan Ahmad Muaz Fishol menewaskan Puerto Rico 3-2 di pentas final.