Bulan mulia 'bermandi darah'

Bulan mulia 'bermandi darah'


anbia@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Bulan mulia Syawal terus bermandi darah apabila sekurang-kurangnya 38 rakyat Palestin di Gaza dibunuh dalam siri serangan berterusan tentera Israel sejak 1 Syawal lalu.

Malah lebih 110 individu turut cedera pelbagai tahap dalam tempoh sama apabila dron tentera Israel disasarkan ke arah kumpulan orang awam atau kawasan penempatan padat pelarian Palestin.

Pengerusi Muslim Care Malaysia (MCM) di Palestin Ahmad Abu Ayesh Al-Najjar yang dihubungi berkata, sejak gencatan senjata bermula 10 Oktober tahun lalu, statistik menunjukkan lebih 690 nyawa penduduk Palestin terkorban akibat serangan ‘skala kecil’ harian dilakukan tentera Israel.

“Terbaharu kelmarin, dua mangsa terkorban termasuk seorang kanak-kanak yang terkena serangan peluru berpandu Israel di kawasan Al-Bayouk terletak di bahagian selatan Khan Younis, Semenanjung Gaza.

“Selain itu, beberapa individu lain turut cedera akibat serpihan peluru berpandu dilepaskan dron Israel,” katanya melalui WhatsApp.

Menurutnya, Al-Bayouk dan kawasan sekitarnya di selatan Khan Younis sering menjadi sasaran serangan berikutan kedudukannya yang berhampiran dengan zon kawalan tentera Israel.

“Bulan Syawal bukan lagi tentang kegembiraan, sebaliknya ia menjadi siri pembersihan etnik yang tidak berkesudahan. Sejak bermula sambutan raya, ‘gencatan senjata’ yang dilaungkan dunia sekadar retorik apabila peluru berpandu Zionis terus meragut nyawa di setiap pelosok Semenanjung Gaza.

“Sebelum Aidilfitri lalu, sebutir bom Israel digugurkan di kawasan Az Zawayda menyebabkan satu keluarga terdiri daripada seorang lelaki, isterinya yang hamil, anak lelaki dan seorang lagi kanak-kanak lelaki terbunuh beramai-ramai.

“Di barat Gaza, kawasan pasar yang menjual barangan rumah turut menjadi sasaran serangan dron Israel hingga membunuh seorang peniaga dan mencederakan lima yang lain ketika penduduk sedang membuat persiapan Syawal,” katanya.

Menurutnya, sejak gencatan senjata diumumkan Oktober tahun lalu, rejim Zionis secara kekal mencabuli perjanjian itu apabila 692 mangsa terkorban.

“Angka rasmi penduduk Gaza yang terbunuh sejak konflik tercetus Oktober 2023 mencecah 72,268 nyawa.

“Angka ini terus meningkat dan tidak menampakkan kezaliman Israel ini akan berhenti,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top