Bakat, personaliti atau rezeki?

Bakat, personaliti atau rezeki?


APABILA video persembahan penyanyi, Amsyar Lee di pentas Sing! Asia tular serata media sosial, rata-rata komen positif dihadiahkan kepada pempengaruh tersebut. Memang ramai yang kagum dengan bakat nyanyiannya.

Poklip tidaklah begitu ‘mengenali’ Amsyar selain daripada video-video nyanyiannya yang pernah tular sebelum ini. Kalau bab ‘meniru’ suara artis menyanyi memang bagi kepada Amsyar.

Cuma dia pernah juga memberanikan diri tampil dengan single sendiri sebagai pembuktian keseriusan dia dalam bidang seni. Tak silap Poklip, ada tiga lagu termasuk duet bersama Bunga menerusi lagu Belai.

Namun cuma lagu Belai yang benar-benar ‘melekat’ dan berjaya menarik lebih 11 juta tontonan di Youtube. Lagi dua lagu, tidak sampai sejuta. Mengapa dua lagu itu seperti gagal menyerlah, Poklip tidak pasti.

Sebenarnya Poklip sendiri keliru dengan netizen kita. Adakala pujian yang diberi melambung-lambung. Inilah bakat yang perlu diangkat. Malaysia ‘rugi’ melepaskan bakat Amsyar dan banyak lagi.

Tetapi satu ketika dulu, oh bukan main kecaman dan kejian dilemparkan kerana Amsyar suka meniru suara penyanyi perempuan. Ada yang suruh dia cari identiti sendirilah, menyampah dan sebagainya.

Cuma mengapa selepas dia tular di China, barulah orang kita hendak puji melambung? Mengapa sampai ada yang cakap kita sia-siakan bakat hebat seperti Amsyar? Di mana kalian ketika dia keluarkan lagu-lagunya?

Kita memang ada ramai bakat anak muda tidak kira dalam bidang nyanyian, lakonan, pengacaraan atau cabang seni lain namun kadang kala, ada yang sukar menembusi tembok populariti itu?

Benar, mungkin ada yang cakap ‘tak popular pun tak apa.’ ‘Kalau lambat popular, tidak mengapa’ tetapi itukah hakikat sebenar yang bermain dalam fikiran mereka yang mahu mempertaruhkan bakat?

Ada yang mempunyai bakat yang cukup tetapi kurang personaliti. Tidak ada identiti atau daya penarik yang boleh menjenamakan diri. Bukan satu dua, ramai sebenarnya. Sebagai contoh, ada yang boleh menyanyi tetapi ‘kurang’ jantan.

Maksudnya, kalau berbusana itu melampau-lampau. Bersolek, bergaya kalah wanita. Sedangkan kita semua sedia maklum, personaliti seperti itu memang sukar menembusi hati peminat industri seni tempatan.

Ya, mungkin anda popular di media sosial tetapi bila keluar lagu atau terpilih menerajui drama, serba tidak jadi. Hujung-hujung, kembalilah anda merajai media sosial dengan video-video tular yang mungkin kurang sesuai.

Itu belum lagi asyik meratib perkara sama. Maaf, ada yang mungkin asyik menyalahkan peminat atau pemain industri seni kononnya tidak dapat menerimanya kerana warna kulit yang berbeza.

Mungkin bukan sebab warna kulit, mungkin disiplin, attitude atau sebenarnya kualiti seorang bintang itu tidak ada pada anda? Jadi usah salahkan perkara sama berulang kali sedangkan ramai sahaja anak seni dengan warna kulit berbeza berjaya.

Kadang-kadang, bukan bakat, rupa dan personaliti meyakinkan sahaja yang diperlukan. Star quality juga memainkan peranan penting. Jangan cuba mengocak air yang sedia keruh dengan alasan ‘saya mahu jadi diri sendiri’.

Ramai juga pempengaruh yang berjaya baik di media sosial dan di medan seni. Sharifah Rose, Aizat Saha, Khai Bahar dan Wany Hasrita antara nama yang bermula dari aplikasi dan media sosial.

Bagaimana mereka menyusun strategi, itu harus kita pelajari. Mungkin satu hari nanti, tiba masa anda pula? Hujung pangkal, berbalik juga kepada rezeki dan susunan Tuhan.

 





Source link

OR

Scroll to Top