am@hmetro.com.my
Kuching: Seorang lelaki mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Sibu, hari ini, atas pertuduhan mengabaikan anak lelakinya berusia dua tahun sehingga menyebabkan mangsa lemas selepas terjatuh ke dalam lubang pembetung yang tidak bertutup di Jalan Dr Wong Soon Kai, di Sibu, Ogos lalu.
Tertuduh, Ling Hoe Hock, 54, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Musyiri Peet.
Mengikut pertuduhan, Ling didakwa mengabaikan anaknya, Ethan Ling, apabila meninggalkannya tanpa pengawasan sehingga menyebabkan kanak-kanak itu lemas, 6.20 petang, 4 Ogos lalu.
Dia dituduh mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang membawa hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara hingga 20 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya Cynthia Emmelda Jerry mencadangkan jaminan RM10,000 dengan dua penjamin tempatan atas alasan risiko tertuduh melarikan diri.
Bagaimanapun, peguam bela, Jessie Wong yang mewakili tertuduh memohon jumlah jaminan minimum RM1,000, dengan alasan tertuduh hadir secara sukarela ke mahkamah.
Jessie juga memaklumkan, tertuduh tidak bekerja dan menjaga tiga anaknya, manakala isterinya yang bekerja di Singapura sudah berhenti kerja dan kini menganggur.
Mahkamah membenarkan ikat jamin RM7,000 dan menetapkan 30 Oktober ini sebagai tarikh pengurusan kes.
Pada 4 Ogos lalu, seorang kanak-kanak lelaki berusia dua tahun disahkan mati selepas terjatuh ke dalam lubang pembetung di Sibu.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sibu Sentral dikejarkan ke lokasi sejurus menerima panggilan kecemasan, 6.29 petang.
Anggota bomba yang menjalankan operasi mencari dan menyelamat menemukan jasad mangsa terapung di dalam pembetung itu, 7 malam.
© New Straits Times Press (M) Bhd






