BARCELONA sudah melupakan kekecewaan tersingkir saingan Liga Juara-Juara, dan bersedia bangkit semula menentang seteru sepanjang zaman, Real Madrid dalam El Clasico La Liga, kata pengendali, Hansi Flick.
Skuad Blaugrana yang tersungkur 3-4 secara agregat kepada Inter Milan dalam separuh akhir, kini masih mengungguli tangga teratas La Liga dengan kelebihan empat mata mengatasi pencabar utama, Real Madrid.
Dengan hanya empat aksi berbaki musim ini, kemenangan di Camp Nou pada Ahad bakal meletakkan pasukan kendalian Flick hanya selangkah lagi daripada menjulang kejuaraan La Liga buat kali ke-28 dalam sejarah gemilang kelab itu.
“Kami berada dalam keadaan baik. Selepas kekalahan di Milan, semua orang tahu ia bukan mudah… tetapi persiapan kami berada pada landasan yang tepat. Kami sudah duduk semeja, berbincang tentang matlamat yang ingin kami capai dalam tempoh dua minggu ini.
“El Clasico ini sangat penting. Kami harus buktikan keupayaan sebenar di padang. Keyakinan itu mesti ada, dan para pemain sudah menunjukkan semangat luar biasa. Kami banyak berbicara tentang apa yang mereka fikirkan, tentang perasaan mereka demi memastikan kami turun sebagai satu pasukan yang bersatu.
“Dalam Clasico, semua tahu, setiap pemain wajib memberikan 100 peratus. Kami mesti aktif, intensif dan dominan. Real Madrid bukan lawan mudah, mereka pasukan hebat. Justeru, kami perlukan sokongan padu daripada seluruh penyokong kami di Camp Nou,” ujar pengendali dari Jerman itu.
Barcelona sebelum ini dikritik hebat selepas melepaskan 10 gol dalam empat perlawanan terakhir di semua kejohanan, sekali gus menimbulkan persoalan tentang keampuhan benteng pertahanan mereka yang gemar menggunakan strategi garisan tinggi.
Namun, Flick kekal tenang dan yakin dengan keampuhan anak buahnya di barisan pertahanan.
“Sejak hari pertama, saya sudah jelaskan falsafah permainan kami. Memang ada ketika, terutama di awal musim, timbul sedikit keraguan. Tetapi pasukan ini telah menyesuaikan diri dengan baik.
“Mereka semakin meningkat dan kini lebih selesa dengan gaya permainan yang kami terapkan. Bila anda lihat kualiti yang mereka miliki, ia sesuatu yang membanggakan,” katanya.
Flick turut memuji aksi pertahanan berpengalaman, Inigo Martinez, yang menurutnya berjaya menyesuaikan diri dengan peranan baharu.
“Dia lebih selesa bertahan sedikit ke dalam, dan saya kagum melihat bagaimana dia menyesuaikan diri. Dia pemimpin sejati, sentiasa mahu menang dalam setiap perlawanan, bekerja keras di setiap sesi latihan, dan menyebarkan semangat positif kepada rakan sepasukan. Dia pejuang, dia ketua yang hebat,” katanya.
Sementara itu, Flick mengesahkan bahawa penyerang utama, Robert Lewandowski, yang baru pulih daripada kecederaan hamstring, serta bek kiri muda, Alejandro Balde, tidak akan diturunkan dalam kesebelasan utama menentang Real.
“Gerard Martin dan pemain lain sedang menunjukkan prestasi terbaik. Selepas perlawanan ini, masih ada tiga baki perlawanan. Mungkin Lewandowski dan Balde akan diturunkan di separuh kedua. Saya yakin Balde sudah bersedia untuk itu,” ujar Flick.