Barcelona: Robert Lewandowski dan Ferran Torres memastikan Barcelona semakin hampir menjulang kejuaraan La Liga selepas menjaringkan gol lewat permainan ketika mencatat kemenangan 2-1 ke atas Osasuna, awal pagi tadi.
Dalam aksi lain, Villarreal mengesahkan slot ke Liga Juara-Juara selepas membelasah Levante 5-1, manakala Atletico Madrid menewaskan Valencia 2-0 di Mestalla dengan Diego Simeone merombak keseluruhan kesebelasan utama bagi memberi fokus kepada saingan Eropah.
Gergasi Catalan, Barcelona kini mendahului 14 mata di depan Real Madrid di tempat kedua dan berpeluang dinobatkan juara sekiranya seteru mereka itu tercicir mata ketika menentang Espanyol, awal pagi esok.
Lewandowski memecah kebuntuan pada minit ke-81 menerusi tandukan, sebelum Torres menambah gol kedua empat minit sebelum tamat perlawanan.
Osasuna merapatkan jurang menerusi Raul Garcia di penghujung aksi, namun Barca tetap mengutip tiga mata penuh untuk semakin hampir mempertahankan kejuaraan liga dan meraih gelaran ke-29 dalam sejarah kelab.
Jika Real berjaya menewaskan Espanyol, peluang seterusnya buat Barcelona untuk mengesahkan kejuaraan adalah ketika aksi El Clasico menentang musuh tradisi mereka pada 11 Mei.
“Bagi saya yang penting kami sudah lakukan tugas hari ini, apa yang berlaku esok bukan dalam kawalan kami.
“Begitulah keadaannya. Kami perlu tunggu – ini situasi yang baik.
“Jika kami menang gelaran (disebabkan Madrid tercicir), kami tetap akan meraikannya, tak kisah bagaimana caranya,” kata Flick.
Barca tampak sedikit santai pada babak pertama, seolah-olah selesa dengan kedudukan di tangga teratas.
Tanpa Lamine Yamal yang cedera, mereka kehilangan sedikit elemen kreativiti dan walaupun menguasai bola, sukar menembusi pertahanan Osasuna.
© New Straits Times Press (M) Bhd






