PENGENDALI Barcelona, Hansi Flick, mengakui Blaugrana bermula pincang sebelum bangkit mempamerkan semangat juang tinggi untuk keputusan seri 3-3 menentang Inter Milan dalam aksi separuh akhir pertama Liga Juara-Juara di Stadium Olimpik Lluís Companys, pada Khamis.
Mengakui kecewa gagal membawa bekalan kemenangan ke San Siro minggu depan, namun Flick memuji kebangkitan anak buahnya selepas ketinggalan 0-2 seawal minit ke-21.
Gol-gol daripada Lamine Yamal, Ferran Torres, dan jaringan sendiri penjaga gol Inter, Yann Sommer, memastikan Barcelona masih bernafas dalam misi mara ke final.
“Saya rasa kami tidak memulakan perlawanan dengan baik. Kami bolos dua gol, tetapi kemudian kami berjaya kembali ke dalam permainan. Separuh masa kedua sungguh luar biasa.
“Masih ada perlawanan kedua dan kami perlu menang. Ia adalah seperti perlawanan akhir sebelum final sebenar. Inter memiliki pengalaman yang hebat dan mereka telah menunjukkannya. Mereka sangat tajam dalam situasi bola mati dan mereka memanfaatkan kelebihan itu,” ujar Flick selepas perlawanan.
Lamine Yamal, pemain muda sensasi, menjadi wira kebangkitan Barcelona apabila meledak gol penting untuk merapatkan kedudukan pada 1-2, sekali gus menyuntik semangat rakan sepasukan untuk bangkit.
Kecemerlangan Lamine Yamal, ternyata menimbulkan kekaguman kepada Flick apabila tidak dapat menyembunyikan peranan penting dijelmakan pemain berusia 17 tahun kelahiran Esplugues de Llobregat, Barcelona itu.
“Beliau telah membuktikan kemampuannya. Golnya pada kedudukan 2-1 sangat penting dan membuka jalan buat kami. Saya gembira dengan pasukan, kami telah melakukan tugas yang hebat,” katanya.
Bagaimanapun, Barcelona terus dirundung malang apabila tonggak pertahanan, Jules Kounde, terpaksa dikeluarkan pada separuh masa pertama akibat masalah otot.
Kehilangan Kounde menambah senarai kecederaan yang sudah pun merangkumi Alejandro Balde dan Robert Lewandowski.
Mengulas ringkas Flick mengakui tahap kecederaan Kounde masih belum diketahui dan menunggu laporan lanjut.
“Tidak, kami perlu menunggu sehingga esok,” ujarnya keadaan pemain Perancis itu.