Pempengaruh Aireena Sofia memilih untuk tidak memberikan sebarang reaksi berhubung dakwaan yang mengatakan rumah tangganya bersama personality media sosial, Haqiem Stopa sedang berdepan masalah.
Baru sahaja melahirkan anak sulung pada Ogos lalu, Aireena turut enggan mengulas lanjut mengenai tuduhan mereka sudah tidak tinggal sebumbung.
“Maaf, saya tak boleh ulas lanjut. Buat masa sekarang, status saya masih isteri orang. Soal dakwaan tak tinggal bersama itu, perkara itu juga saya tak mahu komen,” katanya kepada pemberita.
Aireena ditemui XTRA pada majlis pelancaran kamera dashcam 70mai, A810s 4K Dash Cam dan M800 4K Dash Cam di 1 Utama, pada Rabu.

Apabila ditanya lanjut mengenai keadaan perkahwinannya, Aireena meminta orang ramai mendoakan yang terbaik.
“Soal itu, mungkin lebih sesuai tanya pada pihak sana. Apa yang saya boleh cakap, doakan saya dan anak sentiasa baik,” ujarnya.
Sebelum ini, Aireena pernah meluahkan rasa sedih apabila anak mereka, Hud, turut terkena tempias kecaman netizen.
Kecaman tersebut dipercayai berkaitan kontroversi yang timbul melibatkan perniagaan kedai manisan Haqiem.
Dalam masa sama, Haqiem juga enggan memberikan sebarang respons mengenai dakwaan rumah tangganya bergolak dan memilih untuk tidak mengulas hal peribadi di media sosial.
Untuk rekod, Aireena dan Haqiem berkahwin pada 11 Oktober 2024 dan pasangan itu dikurniakan seorang anak lelaki bernama Hud pada 19 Ogos lalu.






