Ipoh: Seramai 36 pelancong warga India dan seorang pemandu bas tempatan terselamat selepas bas persiaran yang mereka naiki terbabas dan merempuh pembahagi jalan di Kilometer 396.2 Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) arah utara, dekat Tanjung Malim, petang tadi.
Ketua Polis Daerah Muallim Supt Mohd Hasni Mohd Nasir berkata kejadian berlaku pada 3.39 petang dan kesemua mangsa termasuk pemandu berusia 41 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan.
Menurut beliau, siasatan awal mendapati bas berkenaan dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Ipoh sebelum hilang kawalan lalu terbabas ke bahagian kanan jalan.
“Bas tersebut kemudiannya melanggar penghadang pembahagi jalan sebelum masuk ke dalam longkang di bahagian kanan lebuh raya,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Beliau berkata bas persiaran itu membawa 32 lelaki dan empat wanita, kesemuanya warga India, yang dipercayai dalam perjalanan dari Hotel Regalia, Kuala Lumpur, ke Hotel Weil di Ipoh.
“Kesemua penumpang telah dipindahkan ke sebuah bas gantian untuk meneruskan perjalanan ke destinasi masing-masing,” katanya.
Sementara itu, PLUS Malaysia Berhad menerusi ciapan di akaun rasmi @plustrafik di laman sosial X memaklumkan kerja-kerja pembersihan dan pengalihan kenderaan selesai sepenuhnya pada 6.50 petang sebelum keadaan trafik kembali lancar.
© New Straits Times Press (M) Bhd