norhayati_nordin@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Pasangan popular, Bella Astillah, 32, dan Syed Saddiq Abdul Rahman, 33, yang kini digelar BASS terus menjadi perhatian ramai dalam majlis dihadiri mereka, apatah lagi tular di media sosial.
Semalam, pasangan yang didoakan netizen satu Malaysia ini agar berjodoh ke jenjang pelamin muncul bersama pada majlis rumah terbuka Aidilfitri CTDK Holding dan Yayasan Nurjiwa yang berlangsung di ibu kota.
Walaupun tidak menggayakan busana warna sedondon di majlis itu, namun Bella dan Syed Saddiq didapati ‘tidak menang tangan’ memenuhi hajat orang ramai yang ingin bergambar dengan mereka.
Malah, apa saja foto termasuk video kemesraan mereka yang dirakam pada majlis rumah terbuka hari raya itu ‘tular’ serta bertebaran di ‘For You Page’ (FYP) media sosial sebagaimana biasa.
Ditambah lagi, ada juga rakaman video memaparkan Syed Saddiq dilihat meletakkan makanan ke dalam pinggan Bella dan tindakan Ahli Parlimen Muar itu mendapat pujian ramai.
Meninjau ke ruangan komen hantaran foto dan video yang bertebaran di media sosial menunjukkan kebanyakan netizen mendoakan dan begitu berharap Bella dan Syed Saddiq berkahwin.
“Wah, ada BASS datang ke majlis raya Tok Ti. Mesranya la…,” komen netizen.
“Macam dah dekat je bau nasi minyak ni. Cepat la kahwin BASS,” tulis seorang warganet.
“Untung Bella, ‘gentle’ Syed Saddiq letakkan makanan untuk dia,” ujar pengguna media sosial.
“BASS cepat naik pelamin. Tak payah nak tunggu lama-lama lagi,” kata wargamaya.
Ketika Aidilfitri baru-baru ini juga, Syed Saddiq dan Bella bersama keluarga masing-masing menggayakan busana sedondon berwarna oren pada hari raya pertama.
Terdahulu, Syed Saddiq dan Bella mula menjadi perhatian netizen selepas mereka sering tampil bersama untuk promosi pakaian hari raya, termasuk mendaki Gunung Kinabalu, membantu mereka memerlukan dan banyak lagi.
Tidak hanya itu, pasangan sejoli kesayangan warganet ini juga didakwa netizen memiliki wajah seiras dan sangat serasi sekali gus hubungan mesra dijalin mereka’ ‘direstu’ ramai di seluruh Malaysia.
Untuk rekod, Syed Saddiq masih bujang, manakala Bella adalah ibu tunggal dua cahaya mata, Mohamed Ayden Adrean, 8, dan Ara Adreanna, 5, selepas bercerai pada 13 Jun tahun lalu.
© New Straits Times Press (M) Bhd