Bayar cukai bukan lesen buang sampah sesuka hati! Hannah Yeoh mahu rakyat ubah sikap, jaga kebersihan

Bayar cukai bukan lesen buang sampah sesuka hati! Hannah Yeoh mahu rakyat ubah sikap, jaga kebersihan

Bayar cukai bukan lesen buang sampah sesuka hati! Hannah Yeoh mahu rakyat ubah sikap, jaga kebersihan


Dataran Merdeka akan terus dibuka kepada akses awam walaupun berlaku insiden sampah bertaburan selepas tayangan langsung aksi final Piala Dunia FIFA 2026, dengan orang ramai diingatkan supaya lebih bertanggungjawab menjaga kebersihan kawasan awam.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh berkata, tindakan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) berkongsi gambar keadaan kawasan berkenaan selepas program itu bukan bertujuan memalukan mana-mana pihak.

Sebaliknya, jelas beliau, perkongsian tersebut dibuat sebagai usaha mendidik masyarakat supaya lebih menghargai kemudahan awam serta mengamalkan budaya menjaga kebersihan.

Menurut Hannah, masih terdapat segelintir masyarakat yang menganggap tugas membersihkan sampah hanya dipikul pekerja pembersihan, sekali gus memberi contoh kurang baik kepada generasi muda.

“Kita tidak mahu wujud mentaliti bahawa kerana membayar cukai, seseorang boleh membuang sampah sesuka hati dan menyerahkan tugas membersihkannya kepada orang lain.
“Setiap program percuma yang diusahakan kerajaan bertujuan menghidupkan semula padang serta kawasan awam untuk dinikmati seisi keluarga, namun budaya menjaga kebersihan perlu diterapkan dalam kalangan masyarakat.
“Walaupun terdapat kerosakan terhadap beberapa pokok landskap di kawasan berkenaan, DBKL tidak akan menutup akses orang ramai ke Dataran Merdeka,” katanya selepas merasmikan Program Tuisyen Akademik Better SPM, Brighter Future di Sekolah Seni Malaysia Kuala Lumpur, hari ini.

Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Wilayah Persekutuan, Dr Abdul Basir V Kunhimohamed dan Ketua Pegawai Global Business Solutions Tenaga Nasional Berhad (TNB), Datuk Azmi Md Yusof.

Mengulas mengenai kemungkinan tindakan terhadap penganjur, Hannah memaklumkan perkara itu akan diteliti DBKL berdasarkan kerjasama yang terjalin dengan pihak terbabit.

Artikel lain: Hannah Yeoh kecewa, tegur sikap pengunjung tinggalkan sampah di Dataran Merdeka

Tambah beliau, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) juga telah meminda undang-undang berkaitan kesalahan membuang sampah, manakala tindakan penguatkuasaan sedang dilaksanakan terhadap individu yang dikenal pasti.

“Individu yang didapati melakukan kesalahan boleh dikenakan saman dan diarahkan menjalani khidmat komuniti untuk membersihkan kawasan.
“Bagi penganjur pula, DBKL akan meneliti perkara itu (tindakan undang-undang).
“Namun yang paling penting ialah masyarakat sendiri perlu menjaga kebersihan,” katanya.

Terdahulu, DBKL memaklumkan kerja-kerja pembersihan dilakukan di Dataran Merdeka selepas kawasan berkenaan dipenuhi sampah sarap susulan kehadiran lebih 25,000 peminat bola sepak yang berhimpun menyaksikan siaran langsung final Piala Dunia FIFA 2026.

Perlawanan akhir itu menyaksikan Sepanyol menewaskan Argentina 1-0 untuk muncul juara dunia.

Sumber: Harian Metro (Muhamad Lokman Khairi)





Source link

OR

Scroll to Top