Bayern masih ada harapan di Allianz Arena – Kompany

Bayern masih ada harapan di Allianz Arena – Kompany


Munich: Jurulatih Bayern Munich, Vincent Kompany, percaya pasukannya masih berpeluang untuk mara ke kelompok lapan terbaik Liga Juara-Juara menjelang perlawanan terakhir liga menentang Slovan Bratislava di Allianz Arena esok.

Bayern kini di tangga ke-15 dalam fasa liga baharu dan perlu menewaskan Slovan sambil mengharapkan keputusan lain memihak kepada mereka untuk mengelak pusingan play-off dan layak terus ke peringkat 16 terbaik.

“Kami bermain di tempat sendiri,” kata Kompany kepada pemberita.

“Ini adalah tempat istimewa untuk kami dan di sini, segala-galanya mungkin…

“Kami tidak boleh kawal apa yang berlaku dalam perlawanan lain, semuanya bergantung pada prestasi kami sendiri.

“Perkara itu (keputusan perlawanan lain) tidak akan jadi isu sehingga lewat permainan, mungkin ketika itu kami akan dapat maklumat jika perlu menjaringkan satu atau dua gol lagi, dan ketika itu kami boleh ambil risiko tambahan.”

Juara Eropah enam kali itu bergelut dengan konsistensi dalam Liga Juara-Juara musim ini, terutama di tempat lawan, apabila tewas di tangan Aston Villa, Barcelona dan Feyenoord.

Penyerang veteran Thomas Mueller pula mempertahankan kenyataan rakan sepasukannya, Joshua Kimmich, yang mendakwa Bayern ‘bukan lagi pasukan elit’, dengan mengatakan komen itu disalah tafsir.

“Apa yang dia maksudkan, bila tengok kedudukan dalam liga, saya faham maksudnya. Perkara yang menarik dalam bola sepak adalah, anda tak perlu jadi pasukan terbaik pada Januari, tapi pada Mei,” kata Mueller.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top