am@hmetro.com.my
Lahad Datu: Eastern Sabah Security Command (ESSCOM) menahan dua individu warga Filipina kerana disyaki menyeludup 580,000 batang rokok putih pelbagai jenis dan 440 bungkusan kecil tembakau bernilai RM872,000 termasuk cukai.
Kedua-dua suspek ditahan Bahagian Keselamatan, ESSCOM dalam serbuan di kawasan koloni setinggan atas air, di sebuah rumah di Kampung Bakau, di sini, hari ini.
Komander ESSCOM, Datuk Victor Sanjos berkata, serbuan dijalankan berdasarkan maklumat awam membabitkan aktiviti penyeludupan rokok.
“Dalam serbuan itu, seorang wanita dan lelaki warga Filipina yang disyaki aktif dalam aktiviti penyeludupan rokok tanpa cukai di sekitar daerah ini diberkas.
“Pasukan serbuan merampas 580,000 batang rokok putih pelbagai jenis serta 440 bungkusan kecil tembakau yang disembunyikan dalam kotak dan plastik membabitkan nilai rampasan selepas cukai RM871,854.40,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Menurutnya, selain itu turut dirampas kenderaan pacuan empat roda jenis Mitsubishi Triton, tiga bot enjin sangkut kuasa 15 kuda setiap satu yang dipercayai digunakan oleh penyeludup.
“Nilai semua barang berkenaan dianggarkan berjumlah RM62,000 serta digunakan oleh penyeludupan. Secara keseluruhannya, barang kes yang dirampas dalam operasi ini dianggarkan berjumlah RM933,854.40.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63, manakala siasatan kes penyeludupan pula di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967,” katanya.
Dalam pada itu juga, beliau berkata ESSCOM akan terus memperhebat koordinasi operasi bersama-sama pasukan keselamatan yang lain bagi mengekang dan menangkap individu yang berniali jahat untuk mengganggu gugat keamanan serta keselamatan negara.
© New Straits Times Press (M) Bhd