Harga runcit petrol RON97, RON95 tanpa subsidi dan diesel di Semenanjung Malaysia masing-masing mencatatkan penurunan bagi tempoh 4 hingga 10 Jun ini.
Kementerian Kewangan (MOF) dalam satu kenyataan memaklumkan, harga RON97 diturunkan sebanyak 30 sen daripada RM4.65 kepada RM4.35 seliter, manakala RON95 tanpa subsidi turun 20 sen daripada RM3.92 kepada RM3.72 seliter.
Pada masa sama, harga diesel di Semenanjung Malaysia turut mencatatkan penurunan sebanyak 20 sen apabila ditetapkan pada RM4.67 seliter berbanding RM4.87 seliter sebelum ini.

Menurut MOF, pelarasan harga runcit baharu itu dibuat selaras dengan formula Mekanisme Harga Automatik (APM) berikutan penyusutan purata harga pasaran antarabangsa pada minggu lalu.
Bagaimanapun, kerajaan MADANI mengekalkan harga bahan api bersubsidi secara bersasar untuk rakyat dan sektor tertentu, termasuk RON95 (BUDI95) pada RM1.99 seliter, diesel di Sabah, Sarawak dan Labuan pada RM2.15 seliter, SKPS pada RM2.05 seliter serta SKDS pada RM2.15 seliter.
Menurut kenyataan itu, pada harga semasa RON95 tanpa subsidi RM3.72 seliter, penggunaan penuh sebanyak 200 liter sebulan akan menelan kos RM744.
“Ini bermakna Kerajaan MADANI menanggung sehingga RM346 bagi setiap penerima yang menggunakan kelayakan penuh BUDI95. Namun, dengan siling kelayakan bulanan sehingga 200 liter, penerima BUDI95 hanya membayar sehingga RM398 sebulan bagi penggunaan penuh kelayakan tersebut.
“Harga diesel tanpa subsidi RM4.67 seliter pula merupakan lebih dua kali ganda harga diesel bersubsidi RM2.15 seliter, bagi mengurangkan impak harga diesel kepada rakyat melalui kos pengangkutan awam dan logistik barangan pengguna,” menurut kenyataan itu.

Dalam pada itu, MOF menjelaskan penurunan harga minggu ini tidak semestinya menggambarkan keadaan pasaran petroleum global yang telah stabil sepenuhnya.
Menurut kementerian itu, risiko kenaikan harga minyak mentah dan produk petroleum masih kekal tinggi dalam jangka sederhana susulan konflik serta perkembangan geopolitik semasa di Asia Barat yang berpotensi mengganggu bekalan global.
“Mutakhir ini, negara-negara pengimport utama di Asia terpaksa meningkatkan pembelian minyak mentah daripada sumber alternatif bagi menampung gangguan bekalan dari Asia Barat. Walaupun import minyak mentah dari Amerika Syarikat ke Asia meningkat ke paras tertinggi, peningkatan tersebut masih belum mencukupi untuk menggantikan kehilangan bekalan melalui laluan perdagangan utama yang terjejas.
“Keadaan ini menunjukkan pasaran petroleum global masih berdepan kekangan bekalan fizikal, meskipun purata harga pasaran minggu terdahulu mencatatkan penyusutan. Sekiranya konflik berlarutan, risiko penyusutan inventori global dan kekurangan bekalan boleh memberi tekanan baharu kepada harga minyak mentah serta produk petroleum dalam tempoh mendatang,” katanya.
Sehubungan itu, Kerajaan MADANI menyeru orang ramai supaya terus mengamalkan penggunaan bahan api secara berhemat bagi membantu memastikan keterjaminan bekalan negara.






