Pelakon Shah Iskandar berkongsikan khabar duka isterinya, Siti Sarah perlu menjalani prosedur pengguguran selepas bayi dalam kandungan disahkan menghidap Sindrom Edwards.
Menerusi perkongsian di Instagram malam tadi, Shah berkata keputusan itu dibuat atas nasihat doktor serta mendedahkan risiko yang bakal dihadapi oleh ibu dan bayi jika tidak melakukan segera pengguguran.
BACA: Shah Iskandar Syukur Layak Mohon Taraf Penduduk Tetap Di Malaysia
“Doktor menasihatkan supaya proses kelahiran diinduksi lebih awal dan kandungan digugurkan, menunggu lebih lama boleh mendatangkan risiko bahaya kepada Sarah kerana dia baru menjalani pembedahan Caesarean lapan bulan lalu.
“Kadar kebarangkalian untuk bayi hidup sekitar lima peratus. Walaupun dengan ‘keajaiban’ lima peratus itu (dan kemungkinan besar tak akan sempat bertahan hingga tarikh jangkaan kelahiran), jangka hayat si kecil dijangka hanya antara enam bulan hingga setahun, dengan bantuan alat sokongan hayat bagi organ-organ penting yang terjejas.
“Kami merasakan terlalu kejam untuk membiarkan bayi menanggung derita bergantung kepada mesin dalam tempoh enam bulan hingga setahun,” katanya.
Sementara itu, Shah memaklumkan isterinya berada di sebuah hospital di Kuala Lumpur untuk proses keluarkan bayi secara induksi serta memohon orang ramai mendoakan agar segala urusan dipermudahkan.
“Semoga anak perempuan syurga kami menyambut kami di jannah kelak, InsyaAllah.
“Saya memohon agar semua mendoakan untuk anak saya, Maryam Inara, dan isteri saya, Siti Sarah. Terima kasih. Al-Fatihah,” katanya.





