MELAKA: Bekalan barangan keperluan asas seperti ayam, telur, daging dan santan di negeri ini dijamin mencukupi menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri Aidilfitri, minggu depan.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna Melaka, Allex Seah Shoo Chin berkata, setakat ini Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) negeri tidak menerima sebarang aduan mengenai kekurangan bekalan di pasaran.
Beliau berkata, pihaknya akan terus menjalin kerjasama dengan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) bagi memastikan bekalan barangan yang dikawal mencukupi.
“Setakat ini bekalan keperluan asas di negeri ini mencukupi menjelang Hari Raya Aidilfitri. KPDN Melaka juga belum terima aduan rasmi berkaitan kekurangan bekalan buat masa ini,” katanya dalam sidang akhbar Pelancaran Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Hari Raya Puasa 2025 di sini, hari ini.
Sementara itu, mengenai Op Pantau 2025, Shoo Chin berkata, KPDN Melaka telah memeriksa sebanyak 1,335 premis perniagaan bagi tempoh 2 Mac sehingga semalam.
Katanya, dalam tempoh itu juga sebanyak 92 aduan diterima dengan empat kes berjaya dihasilkan.
“Tiga kes dibuka di bawah Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011 membabitkan kesalahan tidak meletak tanda harga dan senarai perkhidmatan serta caj yang dikenakan. Setiap kes dikompaun RM300.
“Dalam pada itu, satu kes melibatkan Akta Perlindungan Pengguna 1999 kerana memaparkan harga dan maklumat mengelirukan masih dalam siasatan,” ujarnya. – UTUSAN