Bekas isteri dakwa jadi mangsa dera vokalis Azarra Band – “Setiap kali gaduh, dia keluar curang”

Bekas isteri dakwa jadi mangsa dera vokalis Azarra Band – “Setiap kali gaduh, dia keluar curang”


Bekas isteri kepada penyanyi Ejai, Suraya Zainal tampil membuat pendedahan apabila mendakwa menjadi mangsa keganasan rumah tangga sepanjang tujuh bulan bergelar isteri kepada vokalis kumpulan Azarra Band itu.

Memetik laporan Kosmo, Suraya, 41, mendakwa dirinya mengalami penderaan mental dan fizikal setiap kali berlaku perselisihan faham dengan bekas suaminya.

Menurutnya, sepanjang tempoh perkahwinan, dia hidup dalam ketakutan dan tidak berani bersuara kerana bimbang diceraikan.

Jadi mangsa dera bekas suami

bekas isteri Jadi mangsa dera bekas suami azarra band

“Selama tujuh bulan berkahwin, saya didera secara mental dan fizikal. Saya tidak boleh menegur atau bersuara kerana ia akan mencetuskan pergaduhan.
“Setiap kali bergaduh, perkataan ‘cerai’ akan keluar dari mulutnya. Dia akan memaki, menghina dan memukul saya tanpa belas ihsan,” kata Suraya, baru-baru ini.

Suraya turut mendakwa bekas suaminya sering merendah-rendahkan maruahnya dengan mengeluarkan kata-kata hinaan serta membandingkan status diri sebagai artis.

“Dia menghina saya dengan panggilan janda bodoh, tiada pelajaran dan mengatakan dia boleh mendapat wanita yang lebih baik. Dia bangga dengan status sebagai artis, sedangkan saya dianggap tidak bernilai,” ujarnya.

Berdasarkan laporan polis yang dibuat, Suraya mendakwa pemilik nama sebenar Azrizal Mohd. Aziz bertindak mencekik leher, menendang dada dan muka, memijak wajahnya serta membantingnya ke lantai.

Namun, Suraya mengakui kesilapannya kerana tidak mendapatkan laporan perubatan sejurus kejadian berlaku, sekali gus menyukarkan tindakan lanjut diambil.

“Saya ada saksi, tetapi pihak polis memaklumkan tanpa laporan perubatan, tindakan tidak dapat diambil. Tambahan pula, kejadian sudah lama berlaku,” jelasnya.

Selain itu, Suraya turut mendakwa bekas suaminya sering berlaku curang setiap kali berlaku perselisihan faham, malah meninggalkan rumah selama beberapa hari untuk menjalinkan hubungan dengan wanita lain.

“Setiap kali bergaduh, dia akan keluar rumah berhari-hari dan curang dengan pelbagai wanita. Telefon bimbitnya penuh dengan kandungan wanita separuh bogel dan apabila ditanya, dia kata itu urusan kerja.
“Saya cuba menegur, namun perkara sama berulang. Saya terpaksa berdiam diri kerana jika bersuara, saya akan dimaki dan ditinggalkan,” luahnya.

Menurut Suraya, walaupun berulang kali disakiti, dia tetap berusaha mempertahankan rumah tangga sehingga akhirnya diceraikan apabila bekas suaminya merasakan dia tidak lagi diperlukan.

Mengulas punca pendedahan dibuat, Suraya mendakwa bekas suaminya mengugut untuk menularkan isu tersebut selepas dia meminta agar bil telefon tertunggak dibayar.

“Telefon saya disekat kerana bil tidak dibayar. Bila saya minta dia jelaskan, dia cabar saya buat laporan polis dan menularkan perkara ini kerana dia tidak takut,” tambahnya lagi.

Artikel lain: Alat sulit rasa panas tengah malam, vokalis band dakwa terkena sihir

Untuk rekod, Suraya merupakan bekas isteri keenam Ejai dan pasangan itu disahkan berpisah pada 11 Ogos tahun lalu.

Suraya turut mendakwa dirinya bukan satu-satunya mangsa, sebaliknya mendakwa kesemua bekas isteri Ejai sebelum ini turut mengalami perkara sama.

Sumber: Kosmo (Nur Al-Fairuza Syarfa Nor Saidi)





Source link

OR

Scroll to Top