Bekas Mufti terima anugerah Tokoh Maal Hijrah Perak

Bekas Mufti terima anugerah Tokoh Maal Hijrah Perak


IPOH: Bekas Mufti Perak, Datuk Seri Wan Zahidi Wan Teh diumumkan sebagai penerima Tokoh Maal Hijrah negeri Perak pada Majlis Sambutan Maal Hijrah peringkat negeri 1448H /2026M.

Wan Zahidi, 84, menerima pengiktirafan itu yang disampaikan oleh Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah yang berkenan berangkat ke majlis tersebut di Pusat Konvensyen Casuarina, di sini malam ini.

Berangkat sama ialah Raja Muda Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa dan Raja Di Hilir Perak, Raja Iskandar Dzurkarnain Sultan Idris Shah.

Wan Zahidi yang juga bekas Mufti Wilayah Persekutuan, dilantik sebagai Mufti Perak berkuat kuasa 1 Ogos 2022 sehingga 31 Disember 2025.

Beliau menggantikan Allahyarham Tan Sri Harussani Zakaria yang meninggal dunia pada 30 Mei 2021 di semasa mendapatkan rawatan kerana jangkitan Covid-19.

Berasal dari Perak di Kampung Kerunai, Gerik, beliau merupakan seorang tokoh pemikir Islam yang memberikan sumbangan besar kepada dunia akademik, penyelidikan, pendidikan serta pembangunan modal insan.

Bekas mufti itu juga berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Syariah dan Ijazah Sarjana (MA) Usul Fiqh dari Universiti Al Azhar, Mesir.

Sementara itu dalam majlis sama, pemuda cacat penglihatan, Khairruddin Mazli, 35, menerima Anugerah Ikon Asnaf atas kesungguhnya dalam perniagaan meskipun berdepan cabaran kekurangan dari segi fizikal.

Anugerah lain yang turut disampaikan dalam majlis tersebut ialah Anugerah Saidina Abu Bakar As-Siddiq, Anugerah Siti Khadijah (Wanita), Anugerah Saidina Ali (Belia), Anugerah Pengurusan Masjid Terbaik, Anugerah Pengurusan Tanah Perkuburan Islam Terbaik dan Anugerah Khas. – UTUSAN



Source link

OR

Scroll to Top