Pelakon Rozita Che Wan meluahkan rasa sebak di atas pemergian pelakon veteran, Allahyarham Kamarool Yusof atau Cik Man yang menghembuskan nafas terakhir semalam.
Menerusi perkongsian di Instagram, Che Ta berkata dia kehilangan insan di dalam dunia seni yang dia hormati serta menyifatkan arwah Cik Man seorang yang merendah diri.
BACA: Cik Man Meninggal Dunia Akibat Serangan Jantung
“Ada sesetengah insan, bila bekerja dengan mereka, kita bukan sekadar berkongsi set, kita berkongsi kenangan. Hari ini, hati saya sangat-sangat sebak. Saya kehilangan seorang insan dalam dunia seni yang sangat saya hormati. Setiap kali tau yang kami akan berada dalam naskhah yang sama, saya memang sangat teruja.
“Bekerja dengan arwah sentiasa memberi ketenangan. Seorang yang sangat merendah diri, baik tutur katanya, sentiasa membantu dan tidak pernah lokek berkongsi ilmu,” katanya.
Sementara itu, Che Ta tidak menyangka penggambaran mereka di Perlis merupakan kenangan terakhir mereka serta menzahirkan terima kasih di atas nasihat yang diberikan.
“Tak sangka, rupanya penggambaran kami di Perlis haritu menjadi kenangan terakhir kita bersama. Terima kasih untuk setiap gelak tawa, setiap nasihat, dan setiap memori yang akan saya simpan sampai bila-bila.
“Pemergian arwah adalah kehilangan yang sangat besar buat industri seni dan buat mereka yang pernah mengenali insan sebaik ini,” tulisnya.






