Belanda isytihar perang terhadap pelaku rasis

Belanda isytihar perang terhadap pelaku rasis


The Hague: Persatuan Bolasepak Belanda (KNVB) memfailkan aduan kepada pejabat pendakwa raya susulan mesej berbaur perkauman yang tersebar selepas skuad Oranje tersingkir daripada Piala Dunia.

Kekalahan Belanda menerusi penentuan penalti kepada Maghribi mencetuskan gelombang kecaman di media sosial, terutama terhadap pemain berkulit hitam negara itu.

KNVB memaklumkan semua mesej berunsur perkauman itu diserahkan kepada pejabat pendakwa raya untuk tindakan undang-undang selanjutnya.

“Malangnya, adalah mustahil untuk mengesan dan mengambil tindakan terhadap setiap mesej berbaur perkauman, namun KNVB mahu menghantar isyarat yang sangat jelas.

“Ada batasnya dan ada akibat bagi mereka yang melampaui batas itu,” kata persatuan berkenaan dalam satu kenyataan.

Belanda yang muncul naib juara dunia tiga kali tewas kepada Maghribi menerusi penentuan penalti dalam aksi pusingan 32 terakhir di Monterrey, Mexico selepas kedua-dua pasukan terikat 1-1.

Tiga pemain yang gagal menyempurnakan sepakan penalti iaitu Justin Kluivert, Quinten Timber dan Crysencio Summerville menjadi sasaran kecaman berunsur perkauman dan diskriminasi di media sosial sejurus tamat perlawanan.

Perdana Menteri Belanda, Rob Jetten, turut menggesa pejabat pendakwa raya meneruskan tindakan undang-undang bagi memberi pengajaran kepada pelaku.

Menurutnya, apa yang berlaku selepas perlawanan itu sama sekali tidak boleh diterima.

“Ketika mereka memakai jersi oren, mereka ialah ‘anak-anak kita’ dan tiada siapa mempersoalkan warna kulit mereka.

“Tetapi apabila ada yang gagal menyempurnakan sepakan penalti, mereka terus dihujani kebencian dari segenap penjuru,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top