Belum tentu UMNO bersama gabungan politik lain dalam PRU16 – Tok Mat

Belum tentu UMNO bersama gabungan politik lain dalam PRU16 – Tok Mat


KOTA TINGGI – UMNO belum tentu lagi bersama mana-mana gabungan politik apabila bertanding dalam Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) nanti.

Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, ini kerana parti itu tidak terikat dengan mana-mana pihak untuk bergabung dalam PRU16.

“Kita hanya terikat dengan perjanjian untuk menubuhkan kerajaan untuk menguruskan negara,” katanya ketika berucap merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Tenggara di Dewan Sri Sayong, Felda Sungai Sayong di sini hari ini.

Turut hadir Ketua Bahagian UMNO Bahagian Tenggara, Datuk Seri Dr Adham Baba.

Mohamad yang juga Menteri Luar berkata, perkara tersebut boleh diputuskan semasa PRU16 nanti berdasarkan kekuatan dan jumlah kerusi dimenangi UMNO.

“(Ada) kata kita akan gabung dengan PH (Pakatan Harapan), tengok PRU16, kalau (Parlimen) Pengerang, Kota Tinggi dan Tenggara boleh bagi (menang di kerusi tersebut), kita langgar apa ada hal,” katanya.

Beliau berkata, UMNO sudah merasai keperitan akibat hilang kuasa namun apabila sudah berada semula dalam kerajaan ketika ini seperti tidak memberi sebarang makna kepada parti.

“Seksa apabila hilang kuasa. Hilang kuasa umpama anak ayam dicatuk-catuk dek orang. Walaupun berada dalam kerajaan kita terus hilang kuasa selagi tidak dapat jawatan perdana menteri,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, parti perlu lebih memahami kehendak orang muda yang kini menjadi pengundi baharu dan banyak menentukan keputusan PRU.

“Pengundi 18 tahun jadikan (keputusan pilihan raya) tak tentu arah, takkan nak bantah undi 18, itu mengundur ke belakang namanya,” ujar beliau.

Justeru katanya, parti perlu memahami pemikiran dan berdamping dengan anak muda menerusi program-program yang mereka suka dan dapat menerimanya. – MalaysiaGazette



Source link

OR

Scroll to Top