PEP Guardiola tidak senang duduk dengan kerapuhan benteng pertahanan Manchester City ketika juara bertahan Liga Perdana Inggeris (EPL) itu diratah Arsenal 5-1 di laman lawan awal pagi Isnin.
Kekalahan memalukan itu menjadi satu lagi keputusan buruk pada musim yang hambar apabila Arsenal kenduri gol di Stadium Emirates.
Guardiola kelihatan resah sepanjang perlawanan dan mengakui bahawa anak buahnya perlu menyalahkan diri sendiri.
“Ia kerap berlaku sepanjang musim ini, kami terlalu banyak memberi peluang kepada lawan dan ia tidak sepatutnya terjadi.
“Malangnya, selepas gol kedua, ia berulang lagi. Anda perlu mengatasi situasi ini, anda tidak boleh kehilangan penguasaan bola.
“Anda tidak boleh menamatkan perlawanan dengan cara seperti ini. Kami boleh menjaringkan tiga gol lagi, tetapi pasukan gagal pamer aksi konsisten,” ujar Guardiola.
City bangkit menerusi gol penyamaan Erling Haaland pada awal babak kedua menafikan gol pembukaan Martin Odegaard selepas hanya 103 saat perlawanan bermula.
Namun kesilapan Phil Foden membawa padah apabila hantarannya dipintas oleh Thomas Partey, sebelum rembatannya terbias terkena John Stones dan menerjah gawang.
Jaringan itu menjadi detik kejatuhan City apabila Myles Lewis-Skelly, Kai Havertz dan Ethan Nwaneri memanfaatkan kelemahan ketara di bahagian pertahanan pasukan pelawat.
Selain kesilapan Foden, hantaran John Stones kepada Manuel Akanji juga menjadi punca kepada gol pembukaan Arsenal.
“Kami bermain dengan baik pada mulanya, tetapi anda mesti terus melakukan apa yang sepatutnya dilakukan. Anda tidak boleh berfikir ‘oh, saya akan selesaikannya sendiri’.
“Dalam 20 minit terakhir, kami rapuh. Saya akan bercakap dengan barisan pemain dan berharap ia tidak akan berulang lagi,” ujar Guardiola.