Beri peluang, individu autistik mampu bekerja dan berdikari

Beri peluang, individu autistik mampu bekerja dan berdikari

Beri peluang, individu autistik mampu bekerja dan berdikari


hafizithnin@mediaprima.com.my

Kuala Lumpur: Golongan autistik tidak seharusnya terus dilihat sebagai penerima bantuan semata-mata, sebaliknya perlu diberi ruang untuk mengembangkan potensi melalui pendidikan, latihan kemahiran dan peluang pekerjaan yang lebih inklusif.

Ketua Unit Perkhidmatan OKU, Pejabat Timbalan Rektor Pembangunan Pelajar dan Penglibatan Komuniti serta Pensyarah Jabatan Ekonomi, Kulliyyah Ekonomi & Sains Pengurusan, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof. Dr. Ruzita Mohd Amin, berkata ramai individu autistik, khususnya dalam spektrum sederhana hingga ringan, sebenarnya berpotensi untuk bekerja dan berdikari sekiranya diberi peluang serta sokongan yang sesuai.

“Autisme adalah satu spektrum. Ramai dalam kategori sederhana hingga ringan sebenarnya boleh bekerja dan potensi mereka boleh dibangunkan jika diberi suasana, kemudahan serta budaya kerja yang bersesuaian.

“Mereka tidak memerlukan kemudahan fizikal seperti laluan landai atau lif, sebaliknya memerlukan penyesuaian munasabah serta sistem sokongan yang bermula dari rumah, sekolah, institusi pengajian tinggi sehingga ke tempat kerja,” katanya di sini hari ini.

Semalam, Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Lim Hui Ying mendedahkan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) merekodkan peningkatan sebanyak 93,000 individu autistik daripada keseluruhan 850,000 OKU setakat Jun lalu membuktikan keperluan memperkukuh sistem sokongan kepada golongan itu semakin mendesak.

Penyelidik itu menjelaskan, masyarakat juga perlu mengubah persepsi bahawa golongan autistik dan OKU hanya bergantung kepada bantuan kerajaan.

“Sebenarnya mereka boleh bekerja dan berdikari jika diberikan sistem sokongan yang bersesuaian. Perkara yang perlu diubah ialah stigma masyarakat terhadap golongan ini.

“Stigma dalam kalangan majikan masih menjadi antara faktor yang mengehadkan peluang pekerjaan kepada golongan OKU walaupun mereka mempunyai kelayakan dan kebolehan,” katanya.

Katanya, berdasarkan pengalaman yang dikongsikan oleh seorang graduan undang-undang yang juga OKU penglihatan, individu itu gagal memperoleh tempat menjalani chambering selepas mendedahkan status OKU dalam curriculum vitae (CV).

“Bagaimanapun, apabila status OKU itu dikeluarkan daripada CV, barulah dia dipanggil menghadiri temu duga dan akhirnya berjaya memperoleh tempat menjalani chambering.

“Sedangkan dia seorang pelajar yang cemerlang. Jika peluang tidak diberikan sejak awal, bagaimana mereka hendak membuktikan kemampuan mereka?” katanya.

Mengulas peningkatan jumlah individu autistik yang berdaftar dengan JKM, Ruzita berkata, hal itu mencerminkan peningkatan kesedaran ibu bapa untuk mendapatkan diagnosis awal terhadap anak mereka.

“Kesedaran semakin baik dan kita dapat mengenal pasti lebih ramai individu yang memerlukan sokongan. Namun saya percaya masih ramai yang belum mendapatkan diagnosis.

“Sebab itu sistem sokongan kepada golongan neurodivergen perlu terus dipertingkatkan dan stigma terhadap mereka perlu dihapuskan,” katanya.

Katanya, selain memperluaskan latihan kemahiran, masyarakat perlu membina empati terhadap individu autistik kerana penerimaan sosial menjadi faktor penting dalam perkembangan mereka.

“Empati berbeza dengan simpati. Apabila masyarakat memahami cabaran yang mereka hadapi dan menerima mereka dengan hati terbuka, mereka akan berasa lebih selamat, lebih yakin untuk bergaul serta mampu bekerja mengikut kemampuan masing-masing.

“Kita perlu melihat kekuatan mereka, mengenal pasti bakat yang dimiliki dan menggilap potensi itu supaya mereka dapat menyumbang kepada masyarakat serta ekonomi negara,” katanya.

Katanya, walaupun semakin banyak syarikat swasta mengamalkan prinsip kepelbagaian, ekuiti dan keterangkuman (DEI), usaha itu masih belum mencukupi.

Jelasnya, ramai majikan juga masih tidak mengetahui insentif yang disediakan kerajaan, termasuk potongan cukai berganda kepada syarikat yang menggaji pekerja OKU.

“Kesedaran memang semakin meningkat, tetapi kita masih jauh daripada sasaran yang diharapkan.

Semua pihak termasuk kerajaan, majikan dan masyarakat perlu berganding bahu supaya lebih banyak peluang dibuka kepada golongan autistik dan OKU untuk membina kehidupan yang lebih berdikari,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top