June 14, 2024

Beri ruang kepada Faisal lalui proses pemulihan – MB


KUALA LUMPUR – Semua pihak diminta memberikan ruang dan privasi kepada pemain Selangor FC, Faisal Halim untuk memberi tumpuan kepada proses pemulihannya.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, ia kerana proses rawatan dan pemulihan bintang bola sepak itu akan mengambil masa dan memerlukan laporan lengkap pakar perubatan.

“Saya dikhabarkan Faisal sudah keluar semalam dan kita tunggu laporan doktor untuk memulakan latihan sebagai atlet dan untuk pemain dalam keadaan terbaik, (beliau) memerlukan masa lagi,” katanya memetik laporan Sinar Online.

Menteri Besar ditemui selepas berakhir Majlis Perasmian Festival Turath Islami Selangor 2024 di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini hari ini,

Semalam, selepas tiga minggu menjalani rawatan di hospital, pemain Selangor FC (SFC), Faisal Halim akhirnya dibenarkan pulang ke rumahnya.

Perkembangan itu dimaklumkan SFC menerusi kenyataan selepas Faisal mengharungi empat pembedahan sepanjang berada di hospital swasta selepas menjadi mangsa simbah asid pada 5 Mei lalu.

Faisal yang juga pemain kebangsaan akan menjalani rawatan susulan selepas ini termasuk dari aspek psikologi dalam usaha untuknya kembali beraksi di atas padang.

Pemain kebangsaan itu sebelum ini mengalami luka lecuran tahap empat selepas menjadi mangsa simbahan asid di sebuah pusat beli-belah di Kota Damansara.

Berdasarkan laporan sebelum ini juga, pemain sayap berusia 26 tahun itu dijangka memerlukan tempoh antara tiga hingga enam bulan lagi sebelum boleh kembali beraksi.

Menerusi kenyataan sama, SFC turut berterima kasih kepada semua pihak terlibat sepanjang Faisal menerima rawatan termasuk rakyat Malaysia yang mendoakan kesembuhan pemain itu. – MalaysiaGazette



Source link

OR

Scroll to Top