KUANTAN – Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah agar memberi tumpuan khusus kepada kepentingan dan pemerkasaan program Pendidikan Dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).
Baginda yang juga Pro-Canselor Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) bertitah, TVET dan perkembangan teknologi buatan (AI) memainkan peranan penting dalam pembangunan modal insan yang berkemahiran tinggi dan berdaya saing di peringkat global.
“TVET menyediakan peluang buat pelajar memperoleh kemahiran praktikal yang relevan dengan keperluan industri sekali gus meningkatkan kebolehpasaran graduan dan mengurangkan kadar pengangguran serta menghasilkan graduan yang bergaji premium,” titah baginda.
Tengku Hassanal bertitah demikian pada majlis perasmian Program Jom Masuk U 2024 Zon Timur II di UMPSA, di sini, semalam.
Sementara itu, Naib Canselor UMPSA, Profesor Ts. Datuk Dr. Yuserrie Zainuddin berkata, Jom Masuk U memberi petunjuk kepada pelajar mengenai laluan masa depan mereka.
Katanya, platform tersebut boleh dimanfaatkan bagi menyediakan modal insan yang terdidik dan terlatih bagi meneruskan pembangunan dan kejayaan dalam pelbagai bidang. – MalaysiaGazette