PAS mendedahkan beberapa faktor yang didakwa menjadi punca kepimpinan pusat parti itu mengambil keputusan memutuskan kerjasama politik dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), termasuk dakwaan cubaan melemahkan dan memperbodohkan parti berkenaan.
Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, kerjasama paling longgar yang pernah dijalinkan bersama BERSATU dan beberapa parti lain sebelum ini adalah bagi tujuan mengambil alih kerajaan menerusi akuan berkanun (SD).
Menurut beliau, langkah tersebut dilaksanakan mengikut proses yang betul dan bukannya menerusi apa yang dikenali sebagai Langkah Sheraton, sebelum situasi itu didakwa diambil kesempatan oleh pihak tertentu untuk menonjolkan individu tertentu.
Beliau mendakwa, apabila BERSATU memperoleh kuasa melalui perkiraan pembahagian kerusi, matlamat asal untuk memperkukuhkan perpaduan umat Islam berubah kepada usaha menguasai majoriti umat Islam bersama parti bukan Islam tanpa mengambil kira kedudukan Islam sebagai teras pemerintahan dan dominasi Melayu Bumiputera.
“Tiba-tiba, BERSATU cuba melemahkan peranan PAS yang meneroka perubahan politik dan membodohkan PAS dengan menghalang penyertaan parti yang lebih banyak, khususnya parti Melayu Islam.
“Seperti parti Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (BERJASA), Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Parti Perikatan India Muslim Nasional (IMAN) dan Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (PUTRA) serta Kongres India Malaysia (MIC) yang merupakan parti bukan Islam yang tidak ekstrem,” katanya menerusi penulisan Minda Presiden PAS di Facebook, hari ini.

Abdul Hadi turut mendakwa BERSATU bertindak rakus dalam pembahagian kerusi pada Pilihan Raya Umum (PRU) tanpa mengambil kira kelayakan calon, kemampuan jentera dan jumlah keahlian parti.
Menurutnya, PAS juga mendakwa menerima maklumat yang tidak tepat berhubung jumlah ahli dan kekuatan jentera BERSATU sehingga menyebabkan ahli PAS yang bekerja secara sukarela terpaksa membantu calon-calon yang tidak mempunyai jentera sendiri.
Beliau berkata, krisis dalaman yang berlaku dalam BERSATU akibat perebutan kuasa turut memberi kesan kepada kekuatan Perikatan Nasional (PN), termasuk pemecatan dan penggantungan beberapa pemimpin yang didakwa tidak mengikut proses disiplin yang sewajarnya.
Abdul Hadi turut mengimbau beberapa episod politik termasuk kejatuhan bekas Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli serta usaha mengambil alih kerajaan Negeri Sembilan yang menurutnya gagal selepas berlaku penarikan sokongan menerusi SD.
Katanya, PAS sebelum ini telah berusaha membetulkan kelemahan dalam Perlembagaan PN serta menegur perkara yang dianggap tidak wajar melalui pelbagai saluran termasuk mesyuarat dan perbincangan tertutup.
Bagaimanapun, beliau mendakwa tiada tindakan diambil oleh BERSATU kerana parti itu terlalu sibuk menangani masalah dalaman sendiri sehingga menyebabkan PAS terpaksa menanggung kesan dalam beberapa pilihan raya termasuk PRU, Pilihan Raya Kecil (PRK) dan Pilihan Raya Negeri (PRN).
Artikel lain: PAS, BERSATU henti kerjasama politik, bukan putus silaturahim! – Tuan Ibrahim
Dalam masa sama, Abdul Hadi menegaskan PAS kekal terbuka untuk bekerjasama dengan mana-mana pihak selagi prinsip perjuangan parti itu dihormati, khususnya dalam agenda penyatuan umat Islam dan masyarakat majmuk.
Beliau turut mendakwa PAS tidak pernah rugi dalam kerjasama dengan BERSATU walaupun terpaksa mengorbankan tenaga ahli dan memberi lebih banyak kerusi kepada parti itu.
Menurutnya, hasil kerjasama tersebut tetap memberi manfaat kepada PAS apabila parti itu berjaya menawan empat negeri, menambah jumlah kerusi di beberapa negeri termasuk Sabah serta muncul sebagai parti yang memiliki kerusi terbanyak di Parlimen.
Sumber: FB Abdul Hadi Awang






