Dua anggota Batalion Malaysia (MALBATT) 850-13 cedera ringan selepas konvoi logistik yang dinaiki mereka terkena tempias satu serangan udara berhampiran kawasan Haris, Lubnan, pagi ini.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, kejadian berlaku pada pukul 9.25 pagi waktu tempatan ketika konvoi MALBATT 850-13 sedang melaksanakan misi ulang bekal rutin menuju ke Tyre.
Menurut beliau, insiden itu berlaku kira-kira satu kilometer di barat Pangkalan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNP) 6-43 di Tibnin.
Katanya, kedua-dua anggota terbabit mengalami kecederaan ringan akibat terkena serpihan cermin kenderaan susulan letupan yang berlaku berhampiran lokasi kejadian.
“Dalam kejadian itu, dua kenderaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) turut mengalami kerosakan pada bahagian luaran.
“Sejurus selepas kejadian, Pasukan Tindak Balas Pantas (QRF) MALBATT 850-13 dari UNP 6-43 diaktifkan dengan sokongan pasukan perubatan dan elemen logistik bagi membantu anggota terlibat serta menguruskan pemulihan kenderaan yang terjejas untuk dibawa pulang ke pangkalan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, pasukan yang tiba di lokasi kejadian segera melaksanakan penilaian keselamatan selain memeriksa keadaan anggota dan kenderaan sebelum mengatur pergerakan konvoi kembali ke pangkalan dengan selamat.
Menurutnya, kedua-dua anggota yang cedera telah menjalani pemeriksaan perubatan dan dilaporkan berada dalam keadaan stabil.
Katanya, tiada kecederaan serius atau kehilangan nyawa dilaporkan dalam insiden tersebut.
“Waris-waris anggota yang terlibat juga telah dimaklumkan mengenai insiden ini,” ujarnya.

Mengulas lanjut, Mohamed Khaled berkata, MALBATT 850-13 telah meningkatkan langkah keselamatan termasuk memperketat prosedur pergerakan konvoi, mempertingkat pemantauan situasi semasa serta memperkukuh koordinasi dengan Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Lubnan (UNIFIL).
Artikel lain: MALBATT 850-13 diarah henti pergerakan operasi, tahap keselamatan dipertingkat
Selain itu, katanya, penilaian risiko yang lebih menyeluruh akan dilaksanakan sebelum sebarang pergerakan di kawasan operasi bagi memastikan keselamatan anggota sentiasa terjamin.






