KELAB gergasi Turkiye, Besiktas dilaporkan memberi kata dua dengan menetapkan tempoh 24 jam kepada bintang Mesir, Mohamed Salah untuk membuat keputusan mengenai tawaran kontrak selama dua tahun.
Tawaran lumayan itu bakal menyaksikan pemain berusia 34 tahun berkenaan meraih pendapatan keseluruhan mencecah hampir €20 juta (RM93 juta) semusim termasuk bonus prestasi.
Memetik laporan beIN Sports, kelab berpangkalan di Istanbul itu bersedia menawarkan gaji pokok tahunan sebanyak €15 juta (RM70 juta), di samping bonus sampingan bernilai kira-kira €4 juta (RM19 juta).
Perjanjian tersebut dilaporkan turut merangkumi klausa khas berkaitan hak imej pemain berkenaan.
Sekiranya semua insentif prestasi berjaya dicapai, pendapatan tahunan Salah boleh melonjak antara €19 juta hingga €20 juta.
Ini menjadikan jumlah komitmen kewangan keseluruhan Besiktas untuk tempoh dua tahun melebihi €40 juta (RM186 juta).
Susulan penyerahan pakej kewangan tersebut, tumpuan kini terarah kepada Salah dan ejennya, Ramy Abbas untuk memberikan jawapan muktamad.






