Betul-betul menyala

Betul-betul menyala



am@hmetro.com.my

Lebih 15,000 penonton hadir menyaksikan gandingan bertenaga daripada sembilan artis terkenal tanah air dan Indonesia yang bersama memeriahkan festival muzik NyalaFest 2024 di Stadium Hoki Kebangsaan Bukit Jalil, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Fugo dan Noh Salleh X Restoe Iboe mewakili Malaysia dalam konsert itu, manakala Indonesia menampilkan penyanyi Naif, David Bayu, Feby Putri, Bilal Indrajaya, Romantic Echoes, Pamungkas, Berandya, dan duo, Diskoria.

Persembahan dimulakan oleh Fugo yang membawa lagu popular mereka antaranya Balada Kala Hujan, Pentas Sandiwara dan 99.

Paling mencuri tumpuan pada malam itu ialah Feby Putri, Noh Salleh X Restoe Iboe, Pamungkas, Bernadya dan David Bayu yang tampil dengan impak tersendiri.

Feby yang membawa lagu berjudul Usik, Cahaya, Kembali Pulang, Durasi, Halu, Dunia, Rantau dan Runtuh membuatkan penonton sebak kerana bait-bait liriknya menyentuh perasaan mereka.

Ketika membawakan lagu Rantau, dia turut berkongsi cerita mengenai maksud di sebalik lirik lagu itu.

“Ia menceritakan mengenai anak-anak perantauan yang menetap jauh dari ibu bapa. Apabila mereka pulang ke kampung halaman, wajah, warna rambut dan postur badan sudah berubah,” katanya.

Noh Salleh X Restoe Iboe naik ke pentas dan membawa lagu berjudul Cinta Tak Lama, Sarawak, Biar Seribu, Mr Polia, Sang Penikam, Renjana, Rahsia Tuhan, Angin Kencang dan Bunga Di Telinga.

Noh yang sentiasa berinteraksi dengan peminat mengenai lagu-lagunya turut berkongsi kisah lagu Rahsia Tuhan yang sudah mencecah 1.3 juta tontonan di YouTube.

“Lagu ini ditulis dari sudut hati saya yang dalam dan juga mengisahkan mengenai saya dan isteri yang kehilangan anak akibat keguguran.

“Terima kasih kepada isteri (Fatin Athira) yang kuat dalam mengharungi ujian,” katanya sebelum menyanyikan lagu Rahsia Tuhan.

Pamungkas pula mempersembahkan lagu-lagu popularnya seperti Riddle, Jelesi, Risalah, One Bad Day, One Only, Ilay, New Feeling, To The Bone, Putus, Live Forever, I Love You But I’m Letting Go dan Let Me Cry.

Lagu-lagu yang dipersembahkan tambah menarik dengan tayangan seni digital dipaparkan di skrin besar.

Tidak lengkap konsert itu tanpa Bernadya yang popular dengan lagu barunya berjudul Untungnya, Hidup Harus Tetap Berjalan.

Bernadya sering menjadi pilihan pendengar golongan muda kerana membawa lagu-lagu berkisarkan patah hati akibat bercinta dan perlu meneruskan hidup seperti biasa.

Turut membawa lagu berjudul Lama-Lama, Kata Mereka Ini Berlebihan, Berlari, Sialnya, Hidup Ini Harus Tetap Berjalan, Kini Mereka Tahu, Terlintas, Satu Bulan, Apa Mungkin dan diakhiri oleh Untungnya, Hidup Harus Tetap Berjalan.

Membawa nostalgia, David Bayu yang popular bersama Naif naik ke pentas dengan lagu-lagu popular kumpulan itu.

Antaranya Di Dalam Jiwa, Piknik 72, Jikalau, Manusia, Berserah, Di Mana Aku Di Sini, Berubah, Benci Untuk Mencinta, Deritaku, Posesif, CCP, Aku Rela, Mobil Balap dan Buah Hati.

NyalaFest 2024 melabuhkan tirainya dengan rentak muzik Diskoria yang memberikan tenaga kepada penonton.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top