SATU blok melibatkan beberapa ahli gabungan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dilaporkan bersetuju untuk mengusulkan Datuk Seri Shahril Mokhtar sebagai calon Presiden baharu badan induk bola sepak negara pada kongres pemilihan akan datang.
Difahamkan, blok berkenaan dibentuk hasil perbincangan dalaman membabitkan beberapa ahli gabungan yang berpendapat kepimpinan baharu diperlukan bagi membawa agenda reformasi dalam pentadbiran FAM, susulan beberapa isu yang dibangkitkan termasuk laporan ‘Quality Audit’ Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) sebelum ini.
Antara ahli gabungan yang dikaitkan dengan blok itu ialah Persatuan Bolasepak Selangor (FAS), Persatuan Bolasepak Negeri Sembilan (PBNS), Persatuan Bolasepak Melayu Malaysia serta Persatuan Bolasepak Cina Malaysia.
Shahril dilihat menjadi pilihan berdasarkan pengalaman beliau dalam sektor korporat serta penglibatan dalam pengurusan bola sepak tempatan sejak beberapa tahun lalu.
Beliau sebelum ini memegang peranan sebagai Timbalan Presiden FAS serta Pengarah Bukan Eksekutif Selangor FC sejak 2017, selain terbabit dalam pelbagai inisiatif transformasi pengurusan dan pembangunan kelab.
Dalam sektor korporat, beliau pernah terlibat dalam beberapa projek besar termasuk penstrukturan semula Prasarana Malaysia Berhad serta pelaksanaan projek infrastruktur seperti MRT Laluan 1 dan 2.
Kriteria baharu yang menetapkan calon Presiden FAM perlu mempunyai sekurang-kurangnya lima tahun pengalaman dalam bola sepak turut dilihat menyumbang kepada pencalonan beliau dalam kalangan blok berkenaan.
Bagaimanapun, sehingga kini tiada pengumuman rasmi dibuat oleh mana-mana pihak berkaitan pencalonan tersebut menjelang kongres pemilihan FAM akan datang.
Pada April lalu, Shahril tampil dengan pandangan berani apabila mencadangkan rombakan besar-besaran termasuk pelantikan muka baharu bagi menerajui FAM menjelang Kongres Pemilihan Ahli Jawatankuasa Eksekutif (Exco) akan datang.
Beliau berkata, sudah tiba masanya badan induk bola sepak negara itu melalui proses ‘reset’ selepas berdepan pelbagai isu sebelum ini, khususnya membabitkan aspek pentadbiran.
Menurutnya, pembaharuan itu perlu melibatkan penyertaan golongan profesional dan korporat bagi memastikan hala tuju bola sepak negara lebih tersusun dan berdaya saing.






