Zirafah bernama Gracie dilaporkan hilang

Zirafah bernama Gracie dilaporkan hilang


New York: Seekor zirafah yang dinamakan sebagai Gracie dilaporkan hilang dari sebuah rizab hidupan liar persendirian di kawasan Hill Country, Texas, lapor New York Times.

Pengurus ladang itu, Vick Jones, 76, berkata, Gracie lolos dari Cedar Hollow Ranch di Leakey, Texas, minggu lalu, dan kali terakhir dilihat melalui kamera hidupan liar di bahagian barat kawasan terbabit.

Menurutnya, sehingga petang kelmarin, Gracie masih belum ditemukan.

Berita mengenai kehilangan Gracie sudah tersebar melangkaui bandar Leakey yang hanya dihuni 700 penduduk yang terletak 160 kilometer ke barat San Antonio, selepas Pejabat Sheriff Real County memuat naik amaran mengenai kehilangan haiwan itu pada 22 Jun lalu.

Jones berkata, pemilik ladang yang tidak didedahkan identitinya menawarkan ganjaran sebanyak AS$5,000 (kira-kira RM23,500) untuk sebarang maklumat yang membawa kepada penangkapan dan pemulangan Gracie dengan selamat.

Katanya, Gracie tiba di Cedar Hollow Ranch pada bulan Mei lalu dan ladang itu adalah kemudahan pembiakan milik persendirian bagi memelihara haiwan eksotik sebelum dijual ke ladang lain.

Gracie dianggarkan berumur antara tiga setengah hingga empat tahun adalah spesies zirafah reticulated, iaitu jenis yang terkenal dengan corak bulu yang kemas dan bersih. Bagaimanapun, pihak ladang tidak mendedahkan ketinggian dan berat zirafah itu.

Jones berkata, ladang berkenaan sudah memelihara zirafah di kawasan itu selama lebih 30 tahun.

Jones menjelaskan, Gracie merayau ke satu sudut kawasan ladang yang terletak di dalam gaung, bersempadan dengan kawasan berpagar dan cenuram batu yang curam.

“Zirafah ini tidak seperti yang lain, ia suka berjalan-jalan di sekitar kawasan itu dan akan mendongak untuk memakan dahan pokok yang tinggi,” katanya.

Dalam pada itu, Zoo Brookfield Chicago memaklumkan, zirafah reticulated berasal dari timur laut Kenya, selatan Ethiopia dan Somalia, disenaraikan sebagai spesies terancam dalam Senarai Merah Kesatuan Antarabangsa untuk Pemuliharaan Alam Semula Jadi (IUCN).

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top