UMNO Johor lapor polis! Onn Hafiz sangkal tuduhan Puad, nafi istana arah bubar DUN

UMNO Johor lapor polis! Onn Hafiz sangkal tuduhan Puad, nafi istana arah bubar DUN


Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi menafikan dakwaan Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi yang mendakwa beliau pernah memaklumkan bahawa pihak Istana mengarahkan pembubaran Dewan Negeri Johor (DUN).

Tuduhan tak benar

Menurut Onn Hafiz dalam kenyataan beliau di media sosial, dakwaan tersebut sama sekali tidak benar kerana apa yang dijelaskan sebelum ini adalah pembubaran DUN dibuat selepas mendapat titah perkenan DYAM Tunku Mahkota Ismail selaku Pemangku Sultan Johor mengikut peruntukan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Johor 1895.

“Saya menafikan sekeras-kerasnya dakwaan Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi bahawa saya pernah memaklumkan kepadanya kononnya pihak Istana telah “mengarahkan” pembubaran Dewan Negeri Johor.”

Beliau menjelaskan bahawa Menteri Besar tidak mempunyai kuasa untuk membubarkan DUN secara sesuka hati kerana proses tersebut perlu melalui prosedur yang ditetapkan sebelum mendapat perkenan pihak berkuasa yang berkenaan.

“Apa yang saya jelaskan ialah pembubaran tersebut dibuat setelah mendapat titah perkenan DYAM Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor, selaras dengan Fasal 23, Bahagian Kedua Undang-Undang Tubuh Kerajaan Johor 1895.
Menteri Besar tidak boleh membubarkan Dewan Negeri Johor sesuka hati. Pembubaran perlu melalui proses yang ditetapkan oleh Undang-Undang Tubuh Kerajaan Johor dan hanya berkuat kuasa setelah mendapat perkenan” katanya.

Semua proses dapat titah perkenan

Onn Hafiz menambah, beliau telah menghadap dan mempersembahkan perkara tersebut sebelum pembubaran diumumkan kepada rakyat selepas menerima perkenan yang diperlukan.

Menurutnya, proses mendapatkan titah perkenan adalah sebahagian daripada amalan perlembagaan dan tidak boleh ditafsirkan sebagai arahan atau campur tangan politik daripada Institusi Diraja.

“Saya telah mengadap dan mempersembahkan perkara tersebut. Selepas mendapat perkenan, saya mengumumkan pembubaran Dewan Negeri Johor kepada rakyat secara terbuka. Mendapat titah perkenan ialah satu proses perlembagaan dan sama sekali tidak bermaksud menerima arahan atau campur tangan politik,”

Kenyataan tak bertanggungjawab

Beliau turut menyifatkan dakwaan yang dibangkitkan itu sebagai tidak bertanggungjawab kerana boleh menimbulkan persepsi bahawa Institusi Diraja mencampuri urusan politik UMNO Johor.

Tambah beliau, walaupun setiap individu berhak mempunyai pandangan berbeza atau meninggalkan parti, kenyataan melibatkan Institusi Diraja perlu ditangani dengan berhati-hati kerana berpotensi menyentuh sensitiviti masyarakat serta menjejaskan keharmonian awam.

“Beliau berhak meninggalkan UMNO dan berbeza pandangan dengan kepimpinan parti. Namun, kenyataan sedemikian amat serius dan berpotensi menyentuh sensitiviti 3R, khususnya berkaitan Institusi Diraja, selain boleh menjejaskan keharmonian serta ketenteraman awam,” jelasnya.

Sehubungan itu, beliau memaklumkan UMNO Johor akan membuat laporan polis bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan oleh pihak berkuasa.

“Sehubungan itu, UMNO Johor akan membuat laporan polis bagi membolehkan siasatan dan tindakan lanjut dijalankan oleh pihak berkuasa,”

Pada masa sama, Onn Hafiz menyeru semua pihak agar menghormati Institusi Diraja serta tidak menjadikannya sebagai bahan dalam pertikaian politik.

Sumber: Facebook Onn Hafiz Ghazi





Source link

OR

Scroll to Top