BNM keluarkan Dokumen Dasar Rangka Kerja Perlesenan dan Kawal Selia DITO

BNM keluarkan Dokumen Dasar Rangka Kerja Perlesenan dan Kawal Selia DITO


KUALA LUMPUR – Bank Negara Malaysia (BNM) hari ini mengeluarkan Dokumen Dasar Rangka Kerja Pelesenan dan Pengawalseliaan Penanggung Insurans dan Pengendali
Takaful Digital (Digital Insurers and Takaful Operators, DITO).

Selaras dengan teras strategik Pelan Sektor Kewangan 2022–2026 untuk memajukan pendigitalan dalam sektor kewangan, dokumen dasar ini menggariskan keperluan untuk memudahkan penyertaan DITO yang dapat memberikan tawaran nilai yang kukuh dan bermakna dari segi rangkuman, persaingan dan kecekapan.

Setelah mengambil kira maklum balas dan pandangan daripada pelbagai pihak berkepentingan, BNM telah memperhalus beberapa ciri keperluan penyertaan yang dicadangkan dalam rundingan terdahulu. DITO akan melalui fasa asas untuk tempoh antara tiga hingga tujuh tahun untuk membuktikan daya maju perniagaan dan kekukuhan operasi mereka.

Sepanjang tempoh fasa asas, DITO juga perlu mengekalkan dana modal minimum yang lebih rendah dan setara dengan operasi perniagaan DITO pada peringkat awal.

DITO dicirikan oleh operasi digital mereka, dengan model perniagaan dan produk yang inovatif untuk memenuhi keperluan pengguna secara lebih baik.

Apabila mula beroperasi, DITO dijangka merapatkan jurang perlindungan penting dalam segmen yang berfokuskan digital serta saling melengkapi penanggung insurans dan pengendali takaful berlesen sedia ada dan peserta lain dalam rantaian nilai insurans dan takaful.

Dengan mengambil kira prospek ini, BNM akan mengeluarkan lesen kepada pemohon yang berjaya menunjukkan kapasiti dan keupayaan mereka untuk mencapai matlamat dasar yang dihasratkan dan pada masa yang sama mengekalkan tumpuan yang teguh terhadap aspek pengurusan risiko dan perlindungan pengguna.

Pemohon yang berminat dialu-alukan untuk mengemukakan permohonan rasmi kepada BNM mulai 2 Januari 2025 hingga 31 Disember 2026.

Sebelum menghantar permohonan, semua pemohon perlu berbincang dengan BNM terlebih dahulu dan perbincangan ini boleh dilakukan mulai 1 Oktober 2024
dengan menghubungi [email protected].

Pemohon yang berminat dikehendaki memenuhi kriteria penilaian dalam beberapa aspek iaitu kehematan seperti ciri-ciri dan integriti pemohon, sifat dan kecukupan sumber kewangan serta kekukuhan dan kebolehlaksanaan rancangan perniagaan dan teknologi; amalan pengendalian perniagaan dan perlindungan pengguna;
Syariah (jika berkaitan); langkah-langkah pencegahan pengubahan wang haram dan pembiayaan keganasan; dan keupayaan untuk mencapai tawaran nilai yang bermakna demi kepentingan Malaysia.

Semua pemohon yang berminat perlu memastikan bahawa prosedur permohonan yang digariskan dalam dokumen dasar ini dipatuhi sepenuhnya, berserta pematuhan terhadap dokumen dasar lain yang berkaitan seperti prosedur permohonan untuk Lesen Baharu di bawah Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 dan Akta Perkhidmatan Kewangan Islam 2013 serta Prosedur Permohonan Perolehan Kepentingan dalam bentuk Saham serta menjadi Syarikat Induk Kewangan. – MalaysiaGazette



Source link

OR

Scroll to Top