PETALING JAYA: Hutang kad kredit rakyat terus meningkat, tetapi kadar tunggakan yang rendah menunjukkan kebanyakan pengguna masih mengekalkan disiplin kewangan, namun skim beli dahulu bayar kemudian (BNPL) berpotensi menjadi risiko baharu kepada hutang isi rumah.
Pensyarah Kanan, Jabatan Ekonomi dan Pengajian Kewangan, Fakulti Perniagaan dan Pengurusan, Universiti Teknologi MARA (UiTM), Dr. Mohamad Idham Md. Razak berkata, jumlah hutang kad kredit boleh dilihat daripada dua sudut, namun ia tidak semestinya mencerminkan tekanan kos sara hidup yang kritikal semata-mata.
“Sebahagian besar pengguna menggunakan kad kredit sebagai alat pengurusan aliran tunai jangka pendek, manakala kadar tunggakan yang kekal rendah menunjukkan majoriti masih mampu membuat bayaran.
“Namun, peningkatan perbelanjaan tanpa kawalan dalam keadaan ekonomi yang mencabar turut menunjukkan aspek disiplin kewangan yang perlu diperkasakan agar isi rumah tidak terdedah kepada risiko hutang tidak berbayar,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Mengulas lanjut, beliau berkata, BNPL memberikan gambaran kos yang rendah pada peringkat awal, sekali gus mendorong pengguna membuat lebih banyak komitmen kecil yang akhirnya terkumpul menjadi beban besar.
“Risiko bertambah apabila sebahagian pengguna tidak menyedari jumlah obligasi sebenar yang mereka tanggung dan ketiadaan semakan kredit yang ketat berbanding pinjaman tradisional menyebabkan golongan berpendapatan rendah lebih mudah terdedah.
“Walaupun BNPL menawarkan akses kewangan yang lebih fleksibel, tanpa kawal selia dan literasi kewangan yang mencukupi ia boleh menjadi pencetus peningkatan hutang berisiko tinggi, terutama dalam kalangan pengguna muda,” ujarnya.
Mengulas mengenai kadar tunggakan sebanyak RM551.8 juta (1.1 peratus), Idham berkata, ia masih berada pada tahap yang sihat, tetapi berpotensi meningkat dalam tempoh 6 hingga 12 bulan jika tekanan kos sara hidup, kadar faedah dan harga barangan kekal tinggi.
“Tanda awal yang perlu diperhatikan termasuk pertumbuhan pesat dalam penggunaan BNPL, peningkatan jumlah pengguna yang hanya membayar bayaran minimum kad kredit, pertambahan permohonan penstrukturan hutang serta penurunan baki simpanan isi rumah.
“Jika indikator ini mula menunjukkan tekanan, ia menandakan keperluan untuk intervensi segera bagi mengelakkan kadar tunggakan daripada meningkat dengan lebih ketara,” katanya lagi.
Kelmarin, Timbalan Menteri Kewangan, Lim Hui Ying dalam sesi soal jawab di Dewan Rakyat menyatakan jumlah hutang kad kredit mencecah RM50.7 bilion setakat September lalu.
Beliau berkata, jumlah hutang tidak berbayar atau tertunggak pula mencecah RM551.8 juta bersamaan 1.1 peratus daripada keseluruhan hutang kad kredit dan kad caj.
Katanya, kerajaan mengambil langkah proaktif dan menyeluruh dalam menangani isu pembelian kredit melalui platform e-dagang berpotensi menyumbang kepada peningkatan hutang isi rumah, khususnya kad kredit dan skim BNPL.
Dalam pada itu, mengenai paras hutang skim BNPL, Hui Ying berkata sejumlah RM4.2 bilion direkodkan setakat 30 September lalu, meliputi tujuh juta pemegang akaun aktif dalam negara.
Jelasnya, ia merangkumi 0.3 peratus daripada jumlah keseluruhan keberhutangan isi rumah di Malaysia.
“Namun demikian, jumlah BNPL yang tidak berbayar atau tertunggak adalah terkawal iaitu RM147.7 juta atau 3.5 peratus daripada jumlah keseluruhan pinjaman BNPL.
“Bagi tempoh sama, seramai 185,465 pemegang akaun BNPL yang mempunyai baki tidak berbayar,” katanya. – UTUSAN






