June 14, 2024

Boleh kritik kerajaan tetapi ada had dalam isu 3R – Anwar


Kuala Lumpur: Walaupun kritikan terhadap kerajaan adalah dibenarkan di Malaysia, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengakui terdapat had kepada kebebasan media, terutamanya berkaitan perkara sensitif seperti kaum, agama dan raja (3R).

Ketika ditemu bual penyampai Al Jazeera Sami Zeidan dalam program ‘Talk To Al Jazeera’ pada Ahad, Anwar berkata dalam melaksanakan kebebasan media, beliau tidak akan membenarkan tindakan yang boleh mencetuskan rusuhan atau membahayakan keselamatan awam.

“Tidak kisahlah sama ada kita diturunkan (kedudukan dalam indeks kebebasan media), tetapi apa yang penting ialah kritikan dibenarkan…isunya ialah apabila anda menyentuh isu 3R, mengutuk kaum, agama, mengajak dan menghasut melakukan rusuhan, kita tidak boleh ada perkara itu dalam negara kami,” katanya.

Anwar berkata demikian mengulas mengenai kedudukan Malaysia dalam Indeks Kebebasan Media Dunia, yang menunjukkan kejatuhan signifikan 34 anak tangga daripada 73 ke 107 dalam tempoh setahun.

Namun Anwar berkata di bawah pentadbirannya, kerajaan tidak pernah menahan mana-mana wartawan atau mengharamkan mana-mana surat khabar di negara ini kerana mengkritik kerajaan.

Mengenai dakwaan yang mengatakan penglibatan Yang di-Pertuan Agong dalam cadangan penubuhan kasino di Johor misalnya, Anwar berkata kerajaan tidak akan berkompromi dengan pihak yang menyentuh institusi raja Melayu.

Ini kerana, katanya, ia boleh memberikan kesan signifikan terhadap sentimen orang ramai, yang berpotensi mewujudkan keadaan tidak baik.

“Pertamanya, kerana ia suatu fitnah dan keduanya, anda menyentuh Perlembagaan (Persekutuan)… Ia secara faktanya salah…tidak ada sebarang cadangan untuk membuka kasino baharu,” katanya.

Sebelum ini, Anwar juga telah menafikan laporan bahawa kerajaan sedang mempertimbangkan lesen untuk sebuah kasino bagi memulihkan semula Forest City di Johor.

Ketika ditanya tentang kritikan mengenai usaha reformasi ekonomi dan demokrasi kerajaan yang dilihat perlahan selain penyiasatan kes rasuah berprofil tinggi sejak beliau memegang jawatan, Anwar berkata cubaan untuk membetulkan perkara yang telah berdekad-dekad berlaku dalam tempoh satu tahun setengah memegang jawatan, merupakan sesuatu yang tidak boleh diterima.

“Kita telah melihat usaha yang sama sebelum ini, walaupun pada pengalaman Eropah Timur, di mana negara yang anda kenali, bersikap gung ho mengenai reformasi pantas yang mendatangkan bencana kepada ekonomi dan persediaan politik.

“Dalam kes kami, bertentangan dengan penerapan atau dakwaan oleh pihak pembangkang, perkara yang paling penting ialah tadbir urus.

“Apa yang kami berjaya lakukan adalah untuk memeriksa penyalahgunaan (kuasa) oleh pemimpin, anggota Kabinet daripada membazirkan kekayaan melalui rundingan terus, melalui tender berjumlah berbilion-bilion.

“Kami sudah hentikannya,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top