July 27, 2024

Penjualan 30 peratus saham MAHB mencurigakan – Radzi Jidin

Penjualan 30 peratus saham MAHB mencurigakan – Radzi Jidin


KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen pembangkang, Datuk Radzi Jidin menempelak kerajaan ekoran penjualan 30 peratus saham Malaysia Airport Berhad (MAHB).

Radzi berkata, tindakan gopoh itu akan menyebabkan apa yang berlaku di dalam syarikat yang telah dinyah senarai tidak akan diketahui oleh umum.

“Adalah janggal apabila jumlah peratusan pegangan saham oleh ADIA (Abu Dhabi Investment Authority) dan GIP (Global Infrastructure Partners) tidak dinyatakan dengan jelas di dalam kenyataan rasmi yang dikeluarkan.

“Mengapa hendak disorokkan? Seharusnya bagi satu tawaran besar sebegini, struktur pemilikan adalah jelas daripada awal tawaran. Berdasarkan laporan akhbar The Edge bertarikh 15 Mei 2024, GIP dijangka akan memegang sebanyak 25% saham di dalam Konsortium,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Media sebelum ini melaporkan Global Infrastructure Partners (GIP) dan rakan kongsi dari Abu Dhabi yang didakwa akan memiliki 30 peritus saham MAHB.

GIP adalah subsidiari syarikat Blackrock yang pro Israel.

Mengulas lanjut, Radzi berkata, MAHB bukan sebuah syarikat yang rugi dan bermasalah sebaliknya mencatatkan keuntungan sebanyak RM543 juta dengan jumlah tunai di dalam akaun sebanyak RM1.845 billion untuk tahun kewangan 2023.

“MAHB telah pulih daripada kesan pandemik Covid-19. Melihat potensi pertumbuhan sector pelancongan di seluruh dunia, MAHB mempunyai ruang yang cukup luas untuk mencatatkan pertumbuhan keuntungan yang lebih baik. Hakikatnya, tanpa pegangan satu blok besar saham daripada mana-mana syarikat asing, MAHB telah menunjukkan prestasi kewangan yang baik.

“Nilai sebenar MAHB adalah pada konsesi yang dipegang syarikat tersebut melibatkan 39 buah lapangan terbang di seluruh negara. Pada bulan Mac 2024, konsesi ini telah dilanjutkan oleh Kerajaan sehingga 2069.

“Bukan sedikit hasil negara milik rakyat yang telah digunakan untuk membangunkan jaringan lapangan terbang ini dan mengukuhkan kedudukan MAHB sebelum ini,” katanya.

Jumaat lalu, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke menafikan Khazanah Nasional Berhad pernah menjual pegangan saham miliknya di dalam MAHB kepada sebuah syarikat berkaitan syarikat pro-zionis.

Jelas Anthony, Khazanah hanya mengumumkan tawaran sukarela prasyarat untuk memperoleh semua saham yang belum dimiliki melalui dua anak syarikat milik penuhnya, UEM Group Bhd dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP). – MalaysiaGazette



Source link

OR

Scroll to Top