sukan@hmetro.com.my
Seremban: Prestasi buruk diperagakan skuad Negeri Sembilan FC (NSFC) dalam tiga aksi Liga Super dan satu Piala FA jelas mencetuskan tidak puas hati dan kebimbangan bukan sahaja dalam kalangan penyokong malah pemimpin Persatuan Bolasepak Negeri Sembilan (PBNS).
Naib Presiden PBNS, Mustapha Nagoor secara peribadi menegaskan kekecewaan beliau dengan prestasi pemain skuad Hobin Jang Hobin terutama pada dua perlawanan terakhir menentang Selangor FC (Piala FA) dan Kuala Lumpur (KL) City FC.
“Saya pergi lihat sendiri satu persatu perlawanan iaitu menentang Johor Darul Ta`zim (JDT) di Johor Bahru dan dua perlawanan membabitkan pasukan Selangor di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya.
“Secara peribadi, saya suka cabaran diberikan Negeri Sembilan ketika menentang JDT dan Selangor (Liga Super), tapi saya kecewa ketika pertembungan kedua dengan Selangor (Piala FA).
“Dan lebih teruk ketika aksi mereka menentang KL City di tempat sendiri. Saya lihat persembahan di hadapan penyokong sendiri itu seolah-olah bukan pasukan Negeri Sembilan yang pernah saya saksikan sebelum ini,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.
Mustapha yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia dan Sukan negeri, berkata pihaknya sedar kelab dan barisan kejurulatihan pasukan itu lebih tahu bagaimana ia boleh berlaku dan apa yang perlu dilakukan.
“Saya ini hanya pencinta bola sepak, jika mereka main bagus ketika menentang JDT, kenapa tak boleh bagus ketika lawan Selangor dan KL City.
“Ramai yang kecewa, peminat kecewa, pemain dilihat seolah-olah baru nak belajar bermain bola sepak. Ini tidak sepatutnya berlaku,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd