Bot 'pom pom' mencurigakan dipintas, 30 migran ditahan

Bot 'pom pom' mencurigakan dipintas, 30 migran ditahan


am@hmetro.com.my

Shah Alam: Seramai 30 migran yang dalam perjalanan menuju ke pesisir pantai Sabak Bernam ditahan polis, semalam.

Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, tangkapan pada jam 12.15 tengah malam itu membabitkan Bahagian D3 (Antipermerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran) (ATIPSOM) bersama Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sabak Bernam serta anggota Balai Polis Sungai Besar.

“Kami mengesan bot kayu ‘pom pom’ tanpa nombor pendaftaran dalam keadaan mencurigakan menuju ke pesisir pantai Sabak Bernam.

“Bot itu berjaya dipintas di kawasan pesisiran Pantai Sungai Pulai dan tekong diarahkan untuk berhenti,” katanya dalam kenyataan, malam ini.

Shazeli berkata, hasil pemeriksaan mendapati migran terbabit terdiri daripada 21 lelaki dan sembilan wanita berusia antara 21 hingga 49 tahun.

Jelasnya, polis turut merampas dua telefon bimbit yang dipercayai digunakan dalam aktiviti itu.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 26A Akta ATIPSOM 2007 dan Akta Imigresen 1959/63,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top