BSMM lancar tabung kecemasan bantu mangsa gempa Myanmar

BSMM lancar tabung kecemasan bantu mangsa gempa Myanmar


PETALING JAYA: Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia (BSMM) melancarkan tabung rayuan kecemasan bagi membantu mangsa gempa bumi yang melanda Myanmar, 29 Mac lalu.

Setiausaha Agung BSMM, Datuk Danial Iskandar Abdul Rahman berkata, pihaknya komited menyokong usaha bantuan kemanusiaan melalui kerjasama bersama Persekutuan Antarabangsa Palang Merah dan Bulan Sabit Merah (IFRC) serta Palang Merah Myanmar.

Menurut beliau, BSMM turut bekerjasama rapat dengan Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) bagi menyokong misi bantuan kemanusiaan ke negara itu.

“Setakat ini, para sukarelawan dan petugas kemanusiaan telah digerakkan untuk memberikan pertolongan cemas, menjalankan operasi menyelamat serta menghantar mangsa yang cedera ke hospital.

“Sebanyak tiga tan barangan bantuan daripada BSMM telah dihantar sebagai sebahagian daripada penghantaran 15 tan keseluruhan oleh Nadma.

“Bantuan yang dibekalkan termasuk set dapur, kit kebersihan, kelambu, selimut dan barangan keperluan asas lain,” katanya dalam kenyataan.

Tambah Danial Iskandar, BSMM turut memainkan peranan penting dalam menyelaraskan penghantaran dan pengagihan bantuan bersama Palang Merah Myanmar dan IFRC bagi memastikan bantuan sampai kepada golongan yang paling memerlukan.

“Di saat mencabar ini, ayuh kita bersolidariti membantu mereka yang mengalami kehilangan dan penderitaan akibat gempa bumi dahsyat di Myanmar.

“BSMM tetap teguh dalam komitmen kami untuk membantu komuniti yang terjejas dengan rasa perikemanusiaan dan belas ihsan, tanpa mengira keadaan.

“Sumbangan anda mampu menyelamatkan nyawa, menyediakan bantuan perubatan serta mengembalikan harapan kepada keluarga yang terkesan akibat bencana ini,” ujarnya.

Orang ramai, organisasi korporat dan komuniti tempatan diseru untuk tampil menghulurkan bantuan.

Sumbangan boleh disalurkan terus ke akaun rasmi BSMM seperti berikut:

Nama Bank: Maybank
Nama Akaun: Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia
Nombor Akaun: 5144 2210 7228
Kod Swift: MBBEMYKLXXX
Rujukan: Gempa Myanmar – UTUSAN





Source link

OR

Scroll to Top