Herzogenaurach: Pemain sayap Sepanyol, Lamine Yamal, mungkin baru berusia 16 tahun dan bermain di kejohanan besar pertamanya, tetapi memanggilnya sebagai budak kecil adalah tidak tepat, kata bek Jerman, David Raum menjelang aksi suku akhir Euro 2024.
Jerman, juara Eropah tiga kali yang sudah sepuluh tahun tanpa memenangi trofi utama di pentas antarabangsa, menewaskan Denmark 2-0 untuk mara ke peringkat lapan terakhir menentang Sepanyol, di mana Yamal pantas memperoleh tempat dalam kesebelasan utama.
Aksi lincah dan kreatif pemain sayap itu bersama Nico Williams cukup mengagumkan ketika Sepanyol menewaskan Georgia 4-1 untuk melangkah ke suku akhir.
Yamal juga mencipta rekod dalam aksi pertama peringkat kumpulan menentang Croatia apabila muncul pemain termuda yang pernah tampil di Kejohanan Eropah.
“Apabila anda melihat apa yang Yamal lakukan dalam bola sepak, usia menjadi tidak penting.
“Budak itu bermain dalam pasukan utama di Barcelona dan juga dalam pasukan kebangsaan, jadi tidak ada gunanya bercakap mengenainya sebagai budak kecil.
“Dia mempunyai kualiti yang luar biasa dan kami perlu mencari cara untuk bertahan dengan baik,” kata Raum.
Bukan sahaja Yamal, tetapi juga Williams yang berusia 21 tahun perlu diberi perhatian oleh Raum dan rakan sepasukannya.
“Saya fikir mereka adalah dua pemain hebat, tetapi bukan hanya mereka berdua. Seluruh pasukan Sepanyol sangat lengkap.
“Mereka sukar untuk diramalkan dan kami perlu mencari cara untuk menghentikan keseluruhan pasukan Sepanyol,” kata Raum.
© New Straits Times Press (M) Bhd