July 19, 2024

Bolehkah program matrikulasi tampung pelajar cemerlang tanpa jejaskan kuota bumiputera?

Bolehkah program matrikulasi tampung pelajar cemerlang tanpa jejaskan kuota bumiputera?


KUALA LUMPUR – Pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim Pengumuman YAB Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa semua lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang mencapai 10A ke atas dijamin tempat dalam program matrikulasi, tanpa mengira kaum telah menimbulkan persoalan.

Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong berkata, bagaimana program matrikulasi dapat menampung semua pelajar yang layak tanpa menjejaskan kuota bumiputera.

Menurut beliau, walaupun Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek dan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir telah mengeluarkan kenyataan berhubung perkara ini namun Kementerian Pendidikan tidak menggariskan secara khusus bagaimana pengumuman Perdana Menteri itu akan dilaksanakan berdasarkan dua prinsip utama yang diumumkan oleh Anwar.

Manakala Menteri Pengajian Tinggi pula memberi jaminan kerajaan akan menyediakan tempat yang mencukupi kepada pelajar SPM yang memperoleh keputusan 10A untuk memasuki program matrikulasi.

“Sedangkan program asas sains di universiti awam (UA) di bawah bidang kuasa Menteri Pengajian Tinggi hanya tersedia untuk pemohon bumiputera dan bukan bumiputera tidak boleh memohon manakala program matrikulasi pula dikendalikan oleh Kementerian Pendidikan,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Lantaran itu, soal beliau, bagaimana semua pelajar SPM kaum Cina yang mencapai 10A dapat diterima masuk sekiranya dasar pengambilan pelajar bumiputera dan bukan bumiputera tidak berubah.

Ini kerana setiap tahun, jumlah pelajar Cina yang memperoleh keputusan SPM cemerlang jauh melebihi jumlah yang diterima masuk program matrikulasi.

Beliau berkata, jawapan Menteri Pendidikan dalam Parlimen pada 2019, kuota 10% bukan bumiputera adalah berdasarkan jumlah pengambilan, dan bukan tempat yang disediakan.

Ia bermaksud, walaupun pelajar bumiputera tidak mengisi semua tempat yang disediakan, maka pengambilan bukan bmiputera tidak boleh melebihi 10% daripada jumlah pelajar dalam matrikulasi.

Sedangkan menurut data terkini, jumlah pengambilan pelajar Cina adalah lebih 1,000 lebih atau 5.5% hingga 6% daripada jumlah pengambilan, manakala pelajar India adalah sekitar 3.6%.

“Oleh itu, adakah kerajaan merancang untuk membuat pengambilan berdasarkan kapasiti atau tempat yang sedia ada, dan bukannya jumlah pelajar bukan bumiputera untuk menentukan kuota 10%?,” tanya beliau lagi.

Ka Siong berkata, matlamat penubuhan program matrikulasi pada 1999 adalah untuk meningkatkan kadar kemasukan pelajar bumiputera ke dalam kursus sains, teknologi dan profesional di universiti awam.

Tawaran kemasukan matrikulasi kepada pelajar bukan bumiputera, dan juga pelajar luar bandar serta dari golongan B40 telah dibuat pada 2003.

“Adakah pengumuman terbahru akan menggantikan langkah ini? Dalam keadaan kekurangan tempat di matrikulasi, adakah kerajaan dapat memastikan satu situasi menang-menang untuk semua, atau adakah dasar baharu ini akan menyebabkan satu situasi ‘zero sum game’, di mana satu pihak terpaksa berkorban?

“Pada masa ini, sebanyak 90% daripada semua tempat matrikulasi adalah untuk bumiputera, manakala 10% adalah untuk bukan bumiputera.

:Mengambil contoh keputusan SPM 2023, seramai 11,713 pelajar (3.1% jumlah lepasan SPM di seluruh negara) berjaya mendapat keputusan cemerlang, dan sebanyak 30% daripada jumlah ini dianggarkan daripada kaum Cina, iaitu seramai 3,514 individu, tidak termasuk pelajar bukan bumiputera yang lain.

“Walaupun kerajaan pada 2019 telah menambah jumlah tempat di matrikulasi kepada 40,000 tempat, berbanding 25,000 sebelum ini, namun jumlah pengambilan sebenar bagi bukan bumiputera hanya 25,919 pelajar (1,774 Cina, 1,212 India dan 278 lain-lain),” jelasnya lagi.

Ka Siong mengharapkan Perdana Menteri sudah mengambil langkah-langkah yang sewajarnya untuk memastikan pelaksanaan janji ini secara praktikal.

Bahkan, Kementerian Pendidikan dan Kementerian Pengajian Tinggi juga harus menjelaskan butiran pengumuman ini untuk memastikan konsistensi bagi mengelak percanggahan antara apa yang dijanjikan dan apa yang dilaksanakan. – MalaysiaGazette



Source link

OR

Scroll to Top