TUMPAT: Pergaulan dan membesar dalam masyarakat Melayu menjadikan perkahwinan pasangan pengantin Siam di Kampung Chenderung Teluk Jering di sini, unik apabila 100 orang masyarakat Melayu bergotong-royong memasak hidangan untuk dijamu kepada para jemputan.
Penduduk membuat persiapan seawal pukul 6 pagi dengan menyembelih dua ekor lembu untuk meraikan pengantin berketurunan Siam, Yusrivilychai dan isterinya, Tharina.
Golongan wanita Melayu pula sibuk di dapur menyiapkan rempah-ratus untuk gulai kawah, ayam masak merah, sambal, acar, sup dan sayur yang merupakan menu makanan orang Melayu.
Ibu pengantin lelaki, Mek Sewin Chaw atau dikenali Maksu Ani berkata, persiapan kenduri seperti menyembelih lembu, memasak nasi dan gulai kawah semuanya diuruskan penduduk kampung berketurunan Melayu.
“Kira-kira 100 penduduk datang bergotong-royong menyiapkan juadah untuk kenduri kahwin anak lelaki saya,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Moksu Ani berkata, dia mengundang kira-kira 5,000 tetamu pelbagai kaum untuk majlis perkahwinan anaknya dan paling ramai adalah orang Melayu yang hadir.
“Tetamu tidak perlu was-was untuk makan kenduri di rumah saya walaupun saya berketurunan Siam, tetapi sekeliling jiran saya adalah Melayu.
“Hanya pegangan agama yang berbeza, cara hidup saya dan keluarga seperti orang Melayu,” ujarnya.
Maksu Ani yang juga pesara guru Tabika Perpaduan mengakui, situasi itu sudah menjadi tradisi setiap kali kenduri berlangsung di kampung ini.
Sementara itu tukang masak gulai, Fatimah Daud, 52, berkata, persiapan memasak secara gotong-royong ini dirancang oleh Maksu Ani sejak empat bulan lalu.
“Saya dilantik menjadi tukang gulai dan perlu menyediakan lapan kawah gulai. Tiada yang pelik di kampung kami orang Siam kahwin tetapi yang hadir makan orang Melayu kerana makanan itu halal dan dimasak oleh orang Islam,” katanya. – UTUSAN
