BACHOK: Kegembiraan empat kanak-kanak mandi-manda di Pantai Kandis di sini, petang ini berakhir tragedi apabila salah seorang daripada mereka lemas akibat dihanyutkan ombak.
Dalam kejadian kira-kira pukul 6 petang itu, mangsa, Ahmad Ammar Rafaeil Ahmad Ridtauden, 8, dijumpai selepas 45 minit lemas di pantai tersebut.
Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Bachok, Yusri Mat Ghani berkata, siasatan awal mendapati, kejadian berlaku semasa mereka mandi di pantai tersebut dalam keadaan air pasang.
“Tiga daripada empat kanak-kanak itu sempat menyelamatkan diri ke kawasan tepi pantai manakala mangsa dihanyutkan ombak. Paras air laut ketika itu dianggarkan 0.5 meter. Anggota bomba yang tiba di lokasi kejadian sempat menarik kanak-kanak itu daripada terus hanyut ke tengah laut,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Yusri memberitahu, anggota bomba membuat bantuan pernafasan kepada mangsa, namun kanak-kanak itu disahkan sudah meninggal dunia. – UTUSAN