July 23, 2024

Bukan kami pilih pembekal senjata kepada Israel hadir di NATSEC – Duta AS

Bukan kami pilih pembekal senjata kepada Israel hadir di NATSEC – Duta AS


KUALA LUMPUR – Kerajaan Amerika Syarikat (AS) tidak terlibat dalam pemilihan syarikat untuk disenarai sebagai vendor bagi Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) dan Pameran Keselamatan Kebangsaan (NATSEC) Asia 2024.

Duta AS ke Malaysia, Edgard D. Kagan berkata, pihaknya juga tidak menerima bantahan rasmi daripada mereka yang membantah penglibatan beberapa syarikat yang dikatakan menyokong Israel.

“Setakat ini pihak yang membantah itu tidak ada menghubungi kami. Saya perasan sebenarnya mereka bukan hanya kritik syarikat dari AS tapi ia ditujukan kepada pelbagai syarikat antarabangsa lain,” katanya selepas melawat reruai pameran itu, di sini, hari ini.

Dalam masa sama, Edgard menjelaskan, beliau kagum dengan persediaan rapi oleh negara ini kerana menyusun acara antarabangsa itu dengan teratur.

“Pameran ini mempunyai reputasi global dan sememangnya ia terkenal sebagai satu ekspo besar yang menghimpunkan pemain antarabangsa bersifat kritikal.

“Jadi sekali lagi ingin saya katakan, penentuan siapa yang mengambil bahagian dalam acara ini adalah sesuatu yang pihak kami tidak terlibat. Penyertaan ini merupakan atas jemputan dari Malaysia, jadi boleh tanya penganjur untuk ulasan lanjut,” ujarnya.

Terdahulu, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mendesak kerajaan mengharamkan penglibatan dua syarikat yang bersubahat dengan Israel, Lockheed Martin dan BAE daripada menyertai pameran berkenaan.

Ketua Biro Antarabangsanya, Datuk Seri Saifuddin Abdullah berkata, syarikat itu telah membekal senjata dan peralatan kepada Israel yang melakukan pembunuhan ke atas rakyat Palestin terutamanya di Gaza.

Bekas Menteri Luar Negeri itu menegaskan, Lockheed Martin mengeluarkan jet pejuang F-35 manakala BAE membekalkan peralatan diguna oleh Israel dalam serangan ke Gaza sehingga mengorbankan puluhan ribu nyawa. – MalaysiaGazette



Source link

OR

Scroll to Top