Bukan kegagalan teruk kontinjen paralimpik

Bukan kegagalan teruk kontinjen paralimpik


MISI tidak kesampaian kontinjen Malaysia untuk membawa pulang empat pingat emas seperti yang disasarkan pada Sukan Paralimpik Paris 2024 tidak seharusnya dilabel sebagai satu kegagalan yang teruk.

Penganalisis sukan tempatan, Datuk Dr Pekan Ramli berkata, pencapaian kontinjen negara perlu dipuji apatah lagi Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) berani meletakan sasaran yang praktikal dan memberikan cabaran kepada atlet para serta pegawai untuk mengejar sasaran tersebut.

“Jika ikut sasaran untuk bawa pulang empat pingat emas dan ‘double digit’ jumlah pingat memang kita anggap ia gagal mencapai sasaran.

“Tetapi ia bukan suatu kegagalan teruk. Kita tetap pulang dengan dua emas, dua perak dan satu gangsa. Ada atlet para angkat berat kita pun pecah rekod dunia.

“Boleh saja MPM letak sasaran selamat di Paralimpik Paris dengan dua pingat emas sahaja memandangkan atlet para yang kita ada sudah semakin berusia.

“Akhirnya kita capai lebih dari sasaran yang ditetapkan,” katanya kepada Sukan Sinar pada Isnin.

Kontinjen negara meraih dua emas melalui jaguh badminton para Cheah Liek Hou dalam acara perseorangan lelaki SU5 (kecacatan fizikal) dan jaguh powerlifting negara Bonnie Bunyau Gustin.

Namun, hasrat untuk meraih emas dalam dua acara iaitu melalui jaguh olahraga, Datuk Abdul Latif Romly dalam acara lompat jauh lelaki T20 (kecacatan intelektual) dan Muhammad Ziyad Zolkefli dalam acara lontar peluru lelaki F20 (kecacatan intelektual) tidak kesampaian apabila mereka memenangi perak.

Mengulas mengenai kegagalan Abdul Latif dan Muhammad Ziyad yang gagal meraih emas, Pekan menyifatkan ia bukan kerana prestasi mereka merudum.

“Ia kerana kini telah muncul pencabar baru yang lebih baik dari atlet para kita sekarang. Mereka hampir pasti akan menunggu di Paralimpik Los Angeles 2028.

“Jadi, kita perlu melihat ke hadapan dan menyedari bahawa selepas beberapa kitaran paralimpik yang mereka telah sertai, kita perlu terima hakikat bahawa semakin berusia seseorang atlet itu peluang untuk bergelar juara atau mempertahankan kejuaraan itu semakin sukar.

Mungkin sukar mencari pengganti Datuk Latif atau Ziyad dalam acara masing-masing, tetapi bakat atlet para yang ada sekarang perlu diperkemaskan, diberi peruntukkan dan dibantu secukupnya agar kita tidak kempunan emas di Paralimpik LA 2028 nanti,” katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!



Source link

OR

Scroll to Top